Khamis, 5 Jun 2014

Rampasan dadah di Kelantan meningkat. Kenapa ???


KOTA BHARU - Rampasan pelbagai jenis dadah di negeri ini meningkat 318.8 peratus dengan nilai rampasan berjumlah RM14 juta sepanjang Januari hingga Mei lalu berbanding RM3.4 juta tempoh sama, tahun lalu.

Rampasan dadah jenis WY atau pil kuda menjadi penyumbang terbesar kepada peningkatan itu dengan nilai rampasan berjumlah RM7.2 juta berbanding RM2.9 juta untuk tempoh sama.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, peningkatan ketara itu berikutan pihaknya memberi tumpuan menumpaskan sindiket pengedaran dadah terutama membabitkan dadah jenis pil kuda.

“Sepanjang tempoh ini, kami berjaya merampas 288,559.5 biji pil kuda bernilai RM7.2 juta berbanding 117,447.5 biji bernilai RM2.9 juta tahun lalu, namun jumlah tangkapan pula turun 6,144 orang daripada 6,253 orang.

“Pun begitu, jumlah tangkapan pengedar dadah meningkat 51 peratus iaitu 397 orang berbanding 254 orang tahun sebelumnya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri antara Superintendan Amran Ramli dan Pemangku Superintendan Mit Emong di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini, semalam.

Dalam pada itu, Jalaluddin berkata, kempen besar-besaran perangi pil kuda membabitkan pemasangan poster di tepi jalan akan dilaksanakan untuk mengajak masyarakat membanteras dan menjauhi dadah.

“Dadah penyumbang utama  peningkatan jenayah di negeri ini. Walaupun pelbagai usaha dilakukan seperti tangkapan, program dan ceramah, semuanya tidak berkesan,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...