Ahad, 29 Jun 2014

Pengunaan pil kuda di Kelantan tinggi


TUMPAT - Masalah penggunaan dadah terutama pil kuda di Kelantan mencatat jumlah tertinggi berbanding negeri lain, kata Ketua Polis Negeri Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.

"Permintaan pil kuda yang tinggi di Kelantan menjadi faktor utama kes penyalahgunaan dadah tinggi di negeri ini berbanding negeri lain," katanya kepada pemberita selepas menutup perlawanan futsal antara polis dengan masyarakat tempatan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kok Lanas Datuk Md Alwi Che Ahmad dalam persidangan Dewan Negeri semalam yang mendakwa kerajaan Pas Kelantan gagal menangani masalah penagihan pil kuda sehingga menyebabkan keadaan semakin serius termasuk berlakunya kes-kes rogol.

Jalaluddin berkata jika keadaan itu tidak dibendung kemungkinan kes penyalahgunaan pil kuda itu akan bertambah serius di negeri ini dalam beberapa tahun akan datang.

Jalaluddin berkata permintaan yang tinggi terhadap pil kuda itu menyebabkan beberapa usaha untuk mencegahnya sukar dilakukan dan mengharapkan kerjasama semua pihak untuk bersama-sama membantu pihak berkuasa.

Mengulas berkaitan kawalan di sempadan terutama menjelang Ramadan, beliauberkata tahap keselamatan masih terkawal dan polis akan menggiatkan kawalan kerana yakin kes penyeludupan akan meningkat menjelang Aidilfitri.

"Kita akan memberikan tumpuan dan menjalankan operasi bersepadu dengan agensi lain bagi menghindar apa jua bentuk jenayah di sempadan terutama yang membabitkan kes penyeludupan,' katanya.

Sementara itu mengenai Ops Warta, beliau berkata lebih 5,000 waran tangkap sudah dikeluarkan di negeri ini dan sebanyak 404 waran sudah disempurnakan.

Katanya pelaksanaan operasi itu akan diteruskan untuk mengesan lebih ramai pesalah yang belum melunaskan saman. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...