Ahad, 29 Jun 2014

TINGKAT MUTU KAWALAN KESELAMATAN


Kuala Kubu Bharu, 28 Jun - Melihat kepada pelbagai isu berkaitan perkhidmatan industri kawalan keselamatan negara yang semakin meruncing, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui beberapa siri perbincangan bersama beberapa agensi yang berkaitan telah mengambil langkah mengadakan program latihan Certified Security Guards (CSG) kpd pegawal keselamatan.

"Adalah diingatkan bahawa Kementerian Dalam Negeri(KDN) tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat kawalan keselamatan yang didapati melakukan kesalahan di bawah akta-akta dan peraturan-peraturan sedia ada. " demikian antara ucapan Menteri Dalam Negeri, YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi dalam Majlis Pelancaran Program Latihan Certified Security Guards (CSG) di Padang Kawad, Maktab PDRM, Kuala Kubu Bharu pagi tadi.


Program dibawah inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang dikawal selia bersama KDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dilaksanakan serentak di beberapa pusat latihan PDRM mulai Ogos tahun ini dengan kerjasama agensi di bawah KDN dengan mensasarkan sepuluh ribu orang pengawal keselamatan terlatih pada akhir tahun ini.

Seramai 402 orang pengawal keselamatan daripada pelbagai agensi kawalan keselamatan berjaya menamatkan latihan yang bermula pada 22 Jun lepas dan tamat pada hari ini dengan jayanya dan diharapkan melalui program ini, mutu kawalan keselamatan akan dapat dipertingkatkan bagi membina sebuah persekitaran yang lebih selamat kepada orang ramai.

Turut hadir dalam majlis tersebut YDH  Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato' Sri Khalid Bin Abu Bakar, Y.Bhg Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Dato' Sri Mohamad Khalid bin Hj Shariff, Pegawai-pegawai Kanan PDRM serta wakil-wakil syarikat kawalan keselamatan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...