Rabu, 23 Julai 2014

POLIS KELANTAN RAMPAS PELBAGAI JENIS DADAH BERNILAI LEBIH RM70,000

Gambar Hiasan
Kota Bharu, 22 Julai (Bernama)- Polis Kelantan menahan tujuh individu dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM73,150 dalam dua serbuan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata pasangan suami isteri antara enam yang ditahan dalam serbuan pertama semalam di sebuah rumah di Kampung Cherang Tok Rong, Pasir Mas. 

"Suspek yang ditahan berumur antara 23 dan 27 tahun, kita dapati beg salah seorang suspek yang ditahan berisi 555 pil dipercayai dadah jenis pil kuda dengan anggaran nilai RM15,150.

"Pihak kami turut menemui wang tunai sejumlah RM5,000 bersama suspek," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.

Beliau berkata kumpulan itu dipercayai aktif dalam kegiatan membabitkan dadah sejak awal bulan ini.

Mazlan berkata dalam kes kedua, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh menahan seorang lelaki berusia 24 tahun di Kampung Lembah, Pasir Puteh, Ahad lepas.

"Pemeriksaan membawa kepada penemuan sebotol dadah jenis heroin, hasil soal siasat, suspek kemudian membawa pihak polis ke tempat bekalan dadah disembunyikan di rumahnya.

"Kami menemui 28 botol lagi dadah jenis heroin seberat 134 gram yang dianggar bernilai RM58,000 yang disembunyikan dalam lubang khas di bahagian lantai rumah berkenaan," katanya.

Beliau berkata enam daripada tujuh suspek terbabit memiliki rekod jenayah lampau dan kini ditahan reman seminggu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata 323 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dalam Ops Cantas Khas Bersepadu yang bermula 16 Julai sehingga Ahad lepas (20 Julai).

"Kita turut merampas empat kotak mercun jenis 'Happy Boom' yang bernilai RM7,400 dan selaras senapang angin buatan sendiri.

"Sebanyak 1,678 saman trafik dikeluarkan dalam operasi selama lima hari itu," katanya.

Mazlan juga berkata sejumlah 73 pendatang tanpa izin (PATI) turut ditahan dalam operasi berkenaan, dan kebanyakan mereka adalah dari Indonesia.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...