Selasa, 5 Ogos 2014

#Jenayah Kekerasan: Sindiket samun, culik tumpas

Ipoh: Polis Perak berjaya menumpaskan kumpulan sindiket samun dengan tertangkapnya lima lelaki berusia 26 hingga 35 tahun yang sebelum ini dikatakan sindiket menculik kanak-kanak bagi tujuan penjualan organ manusia.

Penahanan kesemua suspek adalah susulan daripada kejadian cubaan curi sebuah kereta jenis Honda Accord di Taman Loke Yew, Tanjung Malim, dekat sini, kira-kira jam 11 malam 27 Julai lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ketika kejadian cubaan samun kereta itu berlaku, seorang kanak-kanak berusia tiga tahun sedang tidur di dalam kenderaan terbabit yang tidak berkunci, sementara bapanya sedang berbual bersama rakan di luar kerera.

Menurutnya, rakan kepada bapa kanak-kanak berkenaan melihat kelibat seorang lelaki menyusup masuk melalui pintu belakang kereta dan terus menjerit 'culik budak'.

"Suspek kemudian melarikan diri dan dikejar oleh bapa kanak-kanak dan rakannya serta orang ramai yang berada di sekitar kawasan berkenaan.

"Lelaki berkenaan berjaya ditangkap, namun dua rakannya yang menaiki kereta Toyota Avanza berjaya melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Acryl berkata, susulan daripada penahanan suspek, polis menahan empat lagi lelaki disekitar Pulau Pinang dan Perak serta pemeriksaan mendapati kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau termasuk seorang dikehendaki polis Pulau Pinang bersabit kes samun kenderaan.

"Siasatan mendapati suspek pertama yang diberkas sebenarnya cuba mencuri barang dalam kereta mangsa dan soal siasat terhadap empat rakan suspek juga tidak menunjukkan bahawa kejadian itu bermotifkan culik untuk penjualan organ manusia sebagaimana yang tersebar dalam media sosial," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...