Isnin, 25 Ogos 2014

KEKOSONGAN JAWATAN INSPEKTOR DAN SARJAN DIBUKA KEPADA PEGAWAI KOR SUKSIS


Shah Alam, 24 Ogos - Sekurang-kurangnya 80peratus (KLIK) daripada kekosongan jawatan Inspektor dan Sarjan akan dibuka kepada pegawai Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), bermula tahun depan.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata bagaimanapun, proses pengambilan khas ini tertakluk kepada keadaan semasa dan syarat-syarat yang telah ditetapkan seperti memperoleh CGPA 3.00 ke atas semasa tamat pengajian, bebas daripada Lembaga disiplin tatatertib universiti serta bebas daripada rekod siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya selain itu, pegawai Kor Suksis juga tidak boleh terlibat dengan sebarang kemalangan atau kecederaan yang akan menyebabkan kecacatan kekal dan hilang upaya untuk mengikuti latihan asas.

"Kita yakin selepas mendapat latihan selama tiga tahun di IPTA pelatih Suksis akan menjadi pegawai polis yang berwibawa, komited, berintegriti dan dapat memberi perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mewakili Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada majlis perbarisan tamat latihan dan penyampaian sijil pelantikan pegawai Kor Suksis kali ke-10 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.

Sejumlah 1,026 mahasiswa dari 20 IPTA menerima sijil pelantikan pegawai Kor Suksis pada majlis itu. Sehingga kini, 5,994 mahasiswa ditauliah sebagai pegawai Kor Suksis sejak penubuhannya pada 2005.

Mengulas lanjut, Abdul Samah berkata jawatan Inspektor akan dibuka kepada calon Kor Suksis yang mempunyai Ijazah, sementara jawatan Sarjan akan ditawarkan kepada calon yang mempunyai Diploma.

Beliau berkata bagi calon Kor Suksis yang memperoleh CGPA 3.00 ke atas, pengambilan bagi jawatan Inspektor akan diadakan pada akhir semester ketiga manakala bagi calon jawatan Sarjan yang mempunyai Diploma, pengambilan akan diadakan pada akhir semester kedua.

"Calon Kor Suksis yang memohon untuk menjadi Inspektor dan Sarjan perlu menjalani latihan seperti pengambilan anggota polis yang lain, cuma mungkin kita akan mengkaji silibus lain untuk disesuaikan kepada mereka seperti dari aspek perundangan dan akademik memandangkan mereka telah menjalani latihan fizikal selama tiga tahun di IPTA masing-masing," katanya.

Mengenai peluang pekerjaan kepada pegawai Kor Suksis yang telah lama menamatkan pengajian, Abdul Samah berkata peluang turut terbuka kepada mereka asalkan umur tidak melebihi 28 tahun.

"Jika yang telah melebihi umur 28 tahun, kita boleh tawarkan mereka menjadi pegawai sukarelawan polis dengan pangkat mengikut kelulusan masing-masing dan peluang ini turut dibuka kepada mereka yang telah mempunyai kerjaya lain," katanya.- BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...