PULAU PINANG 15 Sept. - Biarpun
hanya bekerja sebagai mekanik, seorang lelaki mampu tinggal di sebuah
kondominium mewah di Jalan Chain Ferry, Butterworth di sini.
Malah
dia juga sering kelihatan bertukar-tukar kereta mewah antaranya Porsche, BMW
dan Mercedes-Benz selain sering berhibur di pusat hiburan terkemuka di negeri
ini.
Polis
yang memantau aktiviti lelaki berketurunan India berusia 36 tahun itu mendapati
dia sebenarnya merupakan anggota sindiket curi kenderaan mewah yang pakar dalam
melakukan kegiatan itu selain turut terlibat mencetak cukai jalan palsu.
Hasil
intipan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut,
lelaki itu yang turut memiliki enam rekod jenayah lampau berkaitan pecah rumah
dan curi kenderaan berjaya ditahan di Lebuh Farquhar dekat sini awal pagi
Jumaat lalu.
Menurut
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid,
hasil soal siasat ke atas lelaki tempatan itu, pihak polis dibawa ke sebuah
kondominium di Harbour Place dekat Butterworth dan menemui lima kunci kereta
mewah selain beberapa cukai jalan palsu.
Katanya,
polis turut menjumpai sebuah kereta Porsche Cayman, BMW 520i, dua Mercedes-Benz
jenis E200 dan CLA2000 serta sebuah Toyota Land Cruiser yang dianggarkan
bernilai RM1.1 juta di tempat letak kereta kondominium itu dengan kesemuanya
menggunakan nombor pendaftaran palsu.
"Kesemua
kereta itu dipercayai dicuri di Selangor kerana bersangkut dengan repot di
bawah Seksyen 379 A (1) Kanun Keseksaan iaitu curi kenderaan dan Seksyen
395/397 kanun sama iaitu samun di Serdang, Klang, USJ, Subang Jaya dan Seri
Kembangan, Selangor.
"Kita
percaya kereta-kereta itu disimpan di negeri ini untuk dijual ke luar negara
oleh anggota sindiket lain yang masih dikesan," katanya dalam sidang
akhbar di sini hari ini.
Tambah
Mior Faridalathrash, ini merupakan rampasan terbesar tahun ini bagi IPD Timur
Laut sementara suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan
akan diserahkan kepada Polis Selangor untuk tindakan lanjut.