Rabu, 17 September 2014

Dua pekerja warga Myanmar dibunuh


BUKIT MERTAJAM 15 Sept. - Kebimbangan penduduk Kampung Manggis, Permatang Tinggi mengenai kemunculan warga asing yang digelar mereka 'tiga serangkai' di situ lebih setahun lalu berasas dengan penemuan dua mayat lelaki warga Myanmar yang dibunuh kejam dan dicampak ke kawasan ladang kelapa sawit di situ awal pagi ini.

Seorang penduduk, Subri Man, 54, berkata, tiga serangkai itu merujuk kepada tiga kumpulan warga asing dari Myanmar dan Vietnam yang menetap dan bekerja di tiga buah kilang di situ.

"Kumpulan pertama bekerja di sebuah kilang memproses cendawan, kumpulan kedua di kilang baja dan kumpulan satu lagi bekerja di sebuah ladang ayam.


"Kami sering melihat mereka berjalan mengikut kumpulan masing-masing dalam jumlah yang ramai. Kami dengar, setiap kumpulan ini tidak mempunyai hubungan baik dan ada yang pernah melihat mereka bertengkar di tepi jalan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Subri yang tinggal kira-kira dua kilometer (km) dari tempat mayat dua lelaki warga Myanmar ditemui dibunuh berkata, walaupun kumpulan berkenaan dilihat seperti 'menguasai' kawasan di situ kerana jumlah yang ramai terutamanya ketika waktu petang selepas tamat bekerja, namun sehingga hari ini mereka tidak mengganggu penduduk tempatan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi ini, seorang kontraktor yang melalui jalan di tepi ladang kelapa sawit di situ terkejut apabila menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah.

Saksi berkenaan yang enggan dikenali kemudian menghubungi pihak polis bagi memaklumkan kejadian berkenaan.

Sementara itu di lokasi terbabit, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, pemeriksaan pasukan polis kemudian menemui satu lagi mayat kira-kira 10 meter dari mayat pertama dalam keadaan terlentang.

"Kedua-dua mangsa berusia sekitar 30-an merupakan warga Myanmar dan dipercayai telah dibunuh di tempat lain beberapa jam lalu sebelum dibuang di sini berdasarkan keadaan mayat yang masih elok.

"Leher dan bahagian pinggang kedua-dua mangsa dikelar selain terdapat beberapa kesan tikaman namun tiada senjata ditemui berhampiran kawasan ini," katanya.

Menurut Mazlan, berdasarkan dokumen yang ditemui, salah seorang bekerja di sebuah kilang di Cherok Tok Kun manakala identiti seorang lagi tidak dapat dipastikan.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.

Sehubungan itu, Mazlan berkata, pihak polis akan menubuhkan pasukan khas bagi memantau kes jenayah melibatkan warga Myanmar di daerah ini yang semakin berleluasa.

"Sepanjang tahun ini, terdapat 33 kes bunuh dengan 24 daripadanya melibatkan warga Myanmar dan majoriti kes itu berlaku di daerah Seberang Perai Tengah," katanya.

Tambah beliau, polis juga akan bekerjasama dengan majikan yang menggaji pekerja asing Myanmar dan akan cuba mendapatkan maklumat lanjut tentang masalah yang mereka dihadapi.

"Bagaimanapun, kita berhadapan dengan kesukaran kerana masalah komunikasi namun yang pasti selepas ini, kawasan yang menjadi sarang Myanmar akan dipantau," katanya.


Sumber:utusanonline
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...