MEDAN 17 Sept. - Polis Bahagian
Narkotik Medan berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah bernilai AS$3.5 juta
(RM11.26 juta) dari Malaysia ke Pelabuhan Tanjong Balai, Sumatera Utara dan
menahan empat suspek, kelmarin.
Laman
web Jakarta Post melaporkan, dadah seberat 25 kilogram jenis methamphetamine
dan 35,000 biji pil ekstasi turut dirampas.
Dadah
itu dipercayai untuk dijual di Medan, Sumatera Utara dan beberapa daerah lain
di negara ini termasuk di Surabaya, Jawa Timur dan Kalimantan.
Polis
Medan berkata, pemilik dadah itu seorang warga Malaysia yang dikenali sebagai
Amir masih diburu.
Keempat-empat
suspek yang ditahan dikenali sebagai Hendra Gunawan, 32, Ramlan Siregar, 48,
Rahmad Siregar, 31, dan Amri Prayoga, 33.
Ketua
Polis Sumatera Utara, Cif Inspektor Eko Hadi Sutedjo berkata, rampasan dadah
tersebut merupakan yang terbesar pada tahun ini dan pihaknya akan memperluaskan
siasatan untuk mencari dalang utamanya di Malaysia.
Kata
Eko, pihaknya akan menjalin kerjasama dengan Malaysia bagi menjejak Amir.
"Kami
akan menghantar pasukan khas ke Malaysia untuk menjalankan penyiasatan lebih
terperinci berhubung kes penyeludupan dadah itu dan menahan pemilik dadah
berkenaan," jelasnya pada satu sidang media.
Sementara
itu, Ketua Polis Bahagian Narkotik Medan, Cif Komander Dony Alexander berkata,
sindiket penyeludupan dadah berkenaan berjaya dikesan hasil penahanan seorang
penyeludup yang dikenali sebagai Hendra pada 11 September lalu.
Selepas
disoal siasat Hendra mendakwa Ramlan Siregar iaitu orang suruhan Amir akan
mendapatkan dadah yang diseludup dari Malaysia ke Pelabuhan Tanjung Balai.