SHAH
ALAM: Polis Selangor menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu di
negeri ini dengan penangkapan tiga warga Iran dan penemuan tempat pembungkusan
dadah semalam.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar,
berkata dadah disyaki syabu seberat 10.5 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM1
juta juga dirampas.
"Semua suspek yang berumur 24 hingga 38 tahun ditahan
dalam beberapa serbuan berasingan di Cyberjaya," katanya kepada pemberita
di sini hari ini.
Beliau berkata, suspek pertama ditahan di sebuah kafe di
Cyber Valley pada kira-kira 1 tengahari oleh pasukan daripada Bahagian Siasatan
Jenayah Narkotik IPD Sepang dan bersamanya dijumpai satu bungkusan beg plastik
yang mengandungi dadah disyaki syabu seberat 2.015kg.
Katanya, hasil siasatan ke atas suspek pertama, pasukan
berkenaan telah dibawa ke sebuah unit pangsapuri yang tidak berpenghuni di Neo
Cyber, Cyberjaya yang dipercayai dijadikan tempat pembungkusan dadah.
"Polis menemui antaranya dadah berbentuk serbuk dan
kristal disyaki syabu seberat 8.505kg, 200ml cecair yang juga disyaki syabu
serta beberapa peralatan membungkus dadah di sebuah bilik di pangsapuri
berkenaan," katanya.
Abdul Rahim berkata, lanjutan daripada penemuan itu, polis
telah menyerbu satu unit pangsapuri berlainan di kawasan sama dan menahan dua
lagi suspek.
"Polis kini sedang mengesan saki-baki anggota
sindiket berkenaan," katanya.
Beliau berkata, semua suspek datang ke Malaysia secara sah
dan kes disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa
hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.