KOTA KINABALU: Tiga
anggota pasukan keselamatan ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki
merogol seorang wanita warga Filipina berusia 21 tahun di sebuah hotel di
bandar Sandakan, pada awal pagi Isnin lepas.
Anggota keselamatan dari pelbagai agensi penguatkuasa dan
sukarelawan berusia antara 27 hingga 37 tahun itu ditahan awal pagi ini selepas
wanita itu membuat laporan di Balai Polis Sandakan, Rabu.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 1 pagi itu, wanita itu
mendakwa dipaksa melakukan hubungan seks secara bergilir-gilir oleh ketiga-tiga
suspek yang berpakaian seragam selepas dia gagal mengemukakan dokumen
pengenalan diri.
Mangsa memberitahu ketiga-tiga anggota pasukan keselamatan
itu bahawa dokumen pengenalan dirinya masih dalam proses dan hanya memiliki
salinan Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13).
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, SAC Salehhudin Abd
Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.
"Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman bagi membantu
siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol," katanya.