Ahad, 28 September 2014

Polis Perhebat Ops Cantas Banteras Kumpulan Minta Wang Perlindungan


GEORGE TOWN: Polis merancang dan merangka operasi bagi membanteras kegiatan kumpulan kongsi gelap yang memeras ugut serta meminta wang perlindungan daripada orang awam menjelang Deepavali.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata polis akan memperhebat Ops Cantas di seluruh negara bagi mengesan kumpulan terbabit yang sering menjalankan aktiviti menjelang musim perayaan.

"Tiap-Tiap kali, khususnya perayaan Tahun Baharu Cina dan Deepavali, selagi ada perayaan-perayaan ini, ada kumpulan tertentu memeras ugut orang awam dengan meminta wang perlindungan daripada mereka.

"Saya dimaklumkan pihak tertentu telah cuba menjalankan aktiviti ini. Jangan kata polis tidak mengetahui gerak-geri dan rancangan mereka, polis sedang merancang operasi untuk membanteras geng ini," katanya pada sidang akhbar selepas pengurniaan Pingat Jasa Pahlawan Negara yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas di Dewan Sri Pinang di sini Selasa.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi dan timbalannya, Datuk A.Thaiveegan.

Sejumlah 184 penerima terdiri daripada petugas polis yang berkhidmat ketika era darurat dan insurgensi komunis menerima pingat masing-masing.

Wan Junaidi meminta orang ramai agar tidak bersekongkol dan akur dengan permintaan mereka selain bekerjasama dengan polis bagi menyekat kegiatan kumpulan itu.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata beliau akan mengumumkan 23 lagi pertubuhan yang diisytihar haram oleh Pendaftar Pertubuhan dalam masa terdekat.

"Kita kena berhati-hati dan polis bukan semberono dalam menentukan badan-badan itu haram dan menyalahi undang-undang. Kita akan siasat dan selidik sebelum membuat sebarang tindakan," katanya.


Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis berdepan kesukaran mengambil tindakan terhadap individu yang menyalah guna laman sosial seperti menghina institusi diraja kerana laman sosial terbabit dilindungi pembekal perkhidmatan.

"Polis memerlukan masa untuk mengesan individu terbabit. Tambahan pula kadang-kadang pembekal perkhidmatan tidak berkerjasama dengan polis dan disebabkan itu, siasatan mengambil sedikit masa sebelum kita boleh bertindak," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...