Khamis, 2 Oktober 2014

Lagi Makmal Dadah Di P Pinang Diserbu


GEORGE TOWN: Polis membongkar sebuah makmal memproses dadah berikutan penahanan dua lelaki dalam serbuan di sebuah apartment di Lorong Bidor, di sini, Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang Supt Guan Beng Kang berkata polis turut merampas pelbagai dadah bernilai RM50,000 dan wang tunai RM1,150 dalam serbuan pada 12 tengah hari itu.

"Lelaki yang ditahan itu masing-masing berusia 44 dan 55 tahun dan hasil pemeriksaan, kami mendapati sebuah bilik di rumah itu dijadikan makmal dadah.


"Dadah-dadah yang dirampas ialah 877 gram ketamin, serbuk dadah (530 gram), heroin (18.5 gram), serbuk kafein (5,700 gram), pil erimin 5 (tiga biji) dan sejumlah bahan kimia dan kami turut merampas peralatan memproses dadah," katanya dalam sidang akhbar di sini, Khamis.

Beliau berkata berdasarkan maklumat awal, dua lelaki yang bekerja sebagai buruh kasar itu menjalankan kegiatan pemprosesan dadah di rumah berkenaan sejak tiga bulan lepas untuk diedar di sekitar Pulau Pinang.

Guan berkata kedua-dua lelaki terbabit yang mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes dadah, kini direman sehingga Selasa bagi membantu siasatan.

Sementara itu, dalam kes berasingan Guan berkata dalam serbuan di sebuah rumah di Bayan Baru pada 26 Sept lepas, polis merampas sepucuk pistol, satu kelopak peluru dan 50 butir peluru jenis S&B.
Kami mendapat maklumat rumah berkenaan dijadikan tempat memproses dadah, bagaimanapun dalam serbuan pada 10.10 malam itu, polis tidak menemui barang berkenaan sebaliknya menemui sepucuk pistol jenis CZ 75D, kelopak peluru dan peluru," katanya.
Beliau berkata tiada tangkapan dibuat dan usaha mengesan pemilik rumah berkenaan giat dijalankan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...