Isnin, 8 Disember 2014

Polis Tumpas Kumpulan Curi Kereta


KOTA TINGGI: Polis percaya dapat menumpaskan satu kumpulan curi kereta berikutan penahanan tiga lelaki dalam serbuan di sebuah bengkel membaiki kenderaan di Kampung Temenin Lama, di sini, awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata kesemua mereka yang berumur antara 27 dan 42 tahun itu ditahan kira-kira 1 pagi, 1 Disember lepas selepas bertindak atas maklumat.
"Polis memeriksa empat kereta di bengkel tersebut iaitu Proton Wira, BMW, Mitsubishi Lancer dan Hyundai Sonata. Mitsubishi Lancer dan Hyundai Sonata terbabit mempunyai nombor pendaftaran Singapura," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Rahmat berkata hasil pemeriksaan mendapati Proton Wira itu dilaporkan hilang pada 9 Ogos lepas di Kota Tinggi manakala nombor enjin serta casis BMW, Mitsubishi Lancer dan Hyundai Sonata pula sudah dikikis.

Beliau berkata seorang daripada tiga lelaki tersebut merupakan pemilik bengkel berkenaan dan dua daripada mereka didapati mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah serta memiliki harta curi.

Menurutnya bengkel itu pula didapati tidak mempunyai lesen dan ia dipercayai digunakan sebagai tempat pengubahsuaian serta melupuskan barang curi.


Kerjasama polis Singapura akan dipohon untuk menyemak sama ada dua kenderaan bernombor pendaftaran Singapura itu pernah dilaporkan hilang, katanya.

Katanya ketiga-tiga lelaki terbabit kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu mencuri kenderaan bermotor dan Seksyen 411 kanun sama iaitu menyimpan atau memiliki harta curi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...