Selasa, 24 Februari 2015

Sairah mati dibunuh dengan kejam


KENINGAU: Sairah Fitri Tifanus, 20, penuntut kolej swasta yang ditemui mati dalam tandas di Pejabat Daerah Keningau semalam, disahkan mati akibat dibunuh.

Ia susulan laporan bedah siasat yang menemui dua tikaman di bahagian tulang rusuk mangsa.

Bedah siasat dijalankan di Hospital Queen Elizabeth (QEH) di Kota Kinabalu turut menemui kesan lebam di beberapa bahagian muka dan badan gadis terbabit, dipercayai akibat terhantuk pada objek tumpul, selain tusukan kecil di dada kanan.


Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Douglas Taong, berkata polis kini berusaha menjejaki suspek bagi membantu merungkai kematian mangsa dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Setakat ini belum ada sebarang tangkapan, namun polis mempergiatkan usaha menjejaki suspek dan mengenalpasti motif pembunuhan. "Kita juga sudah menjalankan siasatan rapi termasuk mendapatkan keterangan rakan karib mangsa serta ahli keluarga terdekat bagi membantu siasatan," katanya di sini.

Sairah yang juga penuntut sebuah kolej swasta di Petaling Jaya, Selangor, menjalani latihan industri di Unit Pelesenan Pejabat Daerah Keningau sejak bulan lalu.

Beliau ditemui mati dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah dalam tandas di tingkat dua bangunan berkenaan pada kira-kira jam 8.30 pagi.

Difahamkan, mangsa yang berasal dari Kampung Durok, dekat sini, memulakan tugas seperti biasa pada jam 8 pagi sebelum pergi ke tandas sendirian.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...