Khamis, 5 Mac 2015

Bekas anggota 
polis maut ditikam


ALOR SETAR 4 Mac - Seorang lelaki ditemukan maut dengan kesan tikaman dipercayai diserang sekumpulan lelaki di hadapan deretan rumah kedai di Taman Anggerik di sini hari ini.

Mangsa, Ang Kean Eng, 32, yang merupakan seorang bekas anggota polis ditikam dibahagian dada, perut dan dahi dan ditemui terbaring berlumuran darah kira-kira pukul 1.35 pagi hari ini.

Kean Eng dipercayai diserang dengan menggunakan pisau oleh kumpulan lelaki berkenaan dan terjatuh lalu meninggal dunia kira-kira 50 meter dari tempat dia diserang.


Bapa saudara mangsa, Ang Kok Keong, 46, berkata, mangsa yang merupakan anak pertama daripada dua beradik tinggal bersama bapanya di Kuala Kedah.

“Saya terkejut apabila diberitahu anak saudara saya mati ditikam dan saya tidak tahu punca kejadian ini,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya berkata, pihak polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu disebabkan pergaduhan melibatkan kes dadah.

“Motif kejadian masih dalam siasatan pihak polis dan masih terlalu awal untuk kita merumuskan motif sebenar kejadian ini.

“Cuma apa yang kita dapati terdapat ba­nyak rekod pengliba­tan dadah dan kita akan menyiasat lanjut kes ini bagi mengetahui motif sebenar,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Menurut Zamri, pihaknya juga mene­rima laporan daripada orang awam mendakwa melihat sebuah kenderaan dipandu keluar dari lokasi kejadian secara tergesa-gesa.


“Kita masih menyiasat maklumat tersebut dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 149 Kanun Ke­seksaan dan Seksyen 302 kanun yang sama iaitu merusuh sehingga menyebabkan kematian,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...