Rabu, 11 Mac 2015

Polis cari Bro Din, Kecik


SEPANG – Polis memburu dua penjenayah anggota Geng Faizal Copper yang aktif terlibat dalam kes-kes samun di tapak-tapak pembinaan di Selangor, Perak dan Pulau Pinang sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM500,000.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Zaldino Zaludin berkata, kes terbaharu kumpulan itu menyamun seorang pengawal keselamatan yang menjaga tapak projek Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dengkil dekat pada pukul 5.20 pagi, 22 Februari lalu.

“Kejadian itu menyebabkan pengawal keselamatan terbabit cedera pada belakang badan, bengkak pipi dan sakit di belakang kepala. “Kad pengeluaran wang automatik (ATM), dua telefon bimbit, walkie talkie, wang tunai RM500 milik mangsa turut dirampas salah seorang suspek,” kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini semalam.
Menurut beliau, pemeriksaan polis di tapak projek itu pula mendapati, empat gelung kabel voltan tinggi hilang turut disamun kumpulan penyamun daripada Geng Faizal Copper itu. Kata beliau, pada pukul 8.45 pagi hari sama, polis menangkap dua lelaki warga tempatan dan lima lelaki warganegara Indonesia dalam serbuan di sebuah Flat Akasia di Persiaran Kasurina, Bandar Botanik, Klang.
“Bersama tujuh suspek yang ditangkap itu, polis merampas kenderaan Naza Ria, Toyota Hiace dan peralatan memotong kabel,” kata beliau.
“Hasil soal siasat yang dibuat terhadap tangkapan awal, mereka telah mendedahkan kabel yang disamun itu telah dijual di sebuah premis kedai membeli barang lusuh di Sungai Besi, Kuala Lumpur,” jelas beliau.
Susulan itu, kata beliau, polis pada 23 Februari menyerbu dua buah premis besi buruk di Jalan Chan Sow Lin dan menangkap tujuh lelaki di kedua-dua premis itu yang dipercayai membeli barang curi.
Zaldino berkata, Geng Faizal Copper disifatkan ganas kerana mereka sanggup mencederakan mangsa jika mangsa tidak memberi kerjasama.
“Mereka dipercayai aktif melakukan jenayah di kawasan Sepang, Subang Jaya, Sungai Buloh di Selangor serta Perak dan Pulau Pinang sejak akhir tahun lalu,” kata beliau.
Polis kini memburu dua lagi lelaki Geng Faizal Copper iaitu Mohd. Nor Adol, 28, atau lebih dikenali sebagai Bro Din dan Mohd. Faizal Itam, 27, atau Kecik.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ke dua-dua lelaki yang dicari itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Sahjuliana Saad di talian 012-583 9539 atau IPD Sepang di talian 03-8777 4222 bagi membantu siasatan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...