Rabu, 11 Mac 2015

Polis akan lakukan siasatan selepas laporan Ketua Audit Negara


KUALA LUMPUR 10 Mac: Pihak polis akan membuka kertas siasatan sekiranya ada pendedahan dibuat dalam laporan Ketua Audit Negara ke atas akaun 1Malaysia Development Berhad (1MBD).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan hari ini berkata siasatan pihak polis hanya akan dilakukan jika selepas meneliti laporan audit tersebut terbukti berlaku percanggahan.

“Saya juga ingin menjelaskan berkenaan laporan media yang mengaitkan kononnya polis akan menyoal siasat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu ini.


“Apa yang saya maksudkan sebenarnya ialah pihak polis akan menyoal siasat  sesiapa sahaja yang boleh membantu memberi pencerahan dalam kes itu, termasuklah jika terpaksa menyoal mereka yang terbabit dalam proses membuat keputusan dalam syarikat itu.

Beliau bagaimanapun sekali lagi menegaskan bahawa siasatan hanya akan dibuat jika laporan audit mendapati wujud percanggahan.

“Jika sebaliknya siasatan tidak akan dibuat,” tegas Khalid.

Dalam pada itu Khalid turut memberi amaran kepada semua pihak agar tidak sewenang-wenangnya membuat laporan tanpa sebarang asas yang kukuh.

Pihak polis, kata beliau, akan mengambil tindakan terhadap mereka yang sengaja menganggu tugas pihak polis.

Khalid turut memaklumkan, sebuah pasukan petugas yang diketuai oleh Jabatan Peguam Negara akan ditubuhkan bagi membolehkan perkongsian sumber dalam membuat siasatan.

“Ini adalah lebih baik daripada melakukan siasatan secara berasingan.


“Selain pegawai dari Bahagian Jenayah Komersil PDRM dan Pejabat Peguam Negara, pasukan petugas berkenaan turut dianggotai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” jelas Khalid
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...