Selasa, 7 April 2015

IS mahu serang polis, tentera

KUALA LUMPUR – Balai polis dan kem tentera di ibu negara dipercayai antara yang menjadi sasaran serangan oleh 17 anggota kumpulan Islamic State (IS) yang ditahan polis semalam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia disyaki untuk memperoleh senjata api.
Beliau berkata, mereka yang berumur antara 14 hingga 44 tahun itu juga disyaki merancang melakukan penculikan terhadap beberapa individu berprofil tinggi.

“Mereka juga merancang membuat bom kerana terdapat nota yang memperincikan proses pembuatan bom yang diperoleh daripada catatan Imam Samudra, rakyat Indonesia,” kata beliau ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 di Dewan Rakyat semalam.
Imam merupakan anggota Jemaah Islamiah dan terlibat dalam insiden mengebom sebuah kelab malam di Bali pada 2002.
Pada November 2008, Imam dihukum tembak selepas dia didapati bersalah dalam kejadian keganasan itu.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, antara yang ditahan semalam ialah bekas anggota Kumpulan Mujahidin Malaysia dan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selain ada yang pernah menjalani latihan ketenteraan di Afghanistan dan Sulawesi.
Menteri itu seterusnya berkata, ada juga yang ditahan itu pernah terlibat dalam cubaan merompak senjata api dari Balai Polis Guar Chempedak, Kedah pada 2001 selain ada yang baru sahaja pulang dari Syria selepas menyertai kumpulan militan IS berjuang di negara itu.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...