Jumaat, 10 April 2015

Penjenayah ditembak mati di Ulu Yam amat berbahaya

Gambar hiasan
SEPANG, 8 April: Penjenayah yang ditembak mati oleh polis ketika cuba melarikan diri di Jalan Ulu Yam, Gombak, semalam, merupakan seorang yang amat berbahaya dan terlibat dalam beberapa kes bunuh di Lembah Klang beberapa tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, berdasarkan risikan polis, penjenayah itu merupakan anggota kumpulan Gang 24.

“Penjenayah berkenaan juga pernah ditangkap di bawah Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya,” katanya kepada pemberita selepas majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sepang di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di sini hari ini.


Laporan sebelum ini menyebut, seorang penjenayah ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan sepasukan polis dari D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor yang melakukan Ops Cantas Khas.

Ketika kejadian, polis mengekori sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna putih dipandu seorang lelaki yang berada dalam keadaan mencurigakan di Jalan Sungai Tua, Gombak, pada 1.20 pagi semalam.

Ketika anggota polis cuba menghampiri kereta itu untuk melakukan pemeriksaan suspek secara tiba-tiba memecut laju keretanya menyebabkan pasukan polis mengejarnya dan cuba menahan kereta terbabit.

Apabila tiba di jalan menghala ke Ulu Yam, kereta dipandu suspek hilang kawalan lalu terbabas melanggar penghadang jalan. Suspek telah keluar dari kereta dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan dan satu daripada tembakan mengenai baju kalis peluru yang dipakai seorang daripada anggota polis.

Bagi mempertahankan diri dan pasukan, seorang daripada anggota polis membalas beberapa das tembakan ke arah suspek. Pemeriksaan ke atas suspek kemudiannya menemui sepucuk pistol jenis Smith & Wesson berkaliber .22.

Pada majlis serah tugas hari ini, Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat menyaksikan Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Mohd Yusoff Awang yang bersara wajib mulai esok menyerahkan tugas kepada Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang, Supt Abdul Aziz Ali.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...