Jumaat, 10 April 2015

Pasang CCTV di kawasan parkir


KUALA TERENGGANU – Polis menyarankan pasar raya di negeri ini memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan parkir bagi memudahkan pihak berkuasa mengesan penjenayah terlibat dalam kes kecurian kenderaan yang lazimnya berlaku di kawasan itu selain depan rumah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah turut menasihatkan orang ramai meletakkan kenderaan di lokasi selamat dan memastikan ia berkunci agar tidak memberi peluang kepada mana-mana individu yang berniat melakukan jenayah.


Menurutnya, sebanyak 381 kes kecurian motosikal dilaporkan dari 1 Januari hingga 4 April lalu, malah sehingga suku tahun ini, kadar jenayah itu menunjukkan peningkatan yang membimbangkan dengan purata tiga hingga lima kes kecurian motosikal dilaporkan setiap hari.

"Walaupun jumlah kes menunjukkan sedikit penurunan berbanding 433 kes dalam tempoh sama tahun lalu, namun masalah kecurian motosikal agak membimbangkan dengan Kemaman mencatat bilangan kes paling tinggi. Kes kecurian kereta masih terkawal.

"Oleh itu orang ramai dinasihatkan tidak meletak motosikal di tempat yang jauh dan memastikan ia berkunci sebelum ditinggalkan," katanya ketika ditemui pemberita pada Hari Pelanggan Proton Bersama Polis Negeri Terengganu, di Proton Edar 4S Padang Midin, di sini, semalam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...