Gambar hiasan |
KUALA LUMPUR 9 Mei - Dicekik hingga
mati di Penarik, Terengganu sebelum mayatnya dibawa sejauh 450 kilometer hingga
ke Cyberjaya, Selangor.
Mayat itu kemudian dicampak ke dalam
kawasan belukar di bawah jambatan susur keluar Putrajaya ke Pulau Meranti.
Itu sebenarnya yang berlaku kepada
Rosshida Abdullah, 30, juruwang restoran yang mayatnya ditemui oleh orang awam
pada Rabu lalu.
Suspek yang dipercayai tunang mangsa
dikatakan tekad melakukan perbuatan itu kerana cemburu dengan kehadiran orang
ketiga dalam hubungan mereka.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk
Abdul Rahim Jaafar yang mengesahkan perkara itu berkata, mangsa bersama suspek
ketika itu dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di Kelantan dari ibu
negara.
“Namun, dalam perjalanan kedua-dua
mereka dipercayai bertengkar mengenai orang ketiga dan menuduh mangsa keluar
dengan lelaki lain sehingga suspek mencekik mangsa sehingga mati di satu
kawasan dekat Penarik, Terengganu.
“Disebabkan mangsa telah meninggal
dunia, suspek mengambil keputusan berpatah balik dari Penarik ke ibu negara,
namun setibanya di Cyberjaya, suspek mencampakkan mayat mangsa dari jambatan
tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Program Kayuhan Pencegahan
Jenayah bersama Timbalan Ketua Polis Selangor di Saujana Utama, di sini hari
ini.
Menurut Abdul Rahim, sepanjang
perjalanan tersebut suspek hanya menutup muka mangsa yang duduk di bahagian
penumpang hadapan itu dengan selimut.
Rabu lalu, mayat Rosshida ditemui orang
ramai dalam keadaan tertiarap lengkap berpakaian di bawah jambatan di Cyberjaya
kira-kira pukul 5 petang.
Turut ditemui bersama mayat ialah beg
tangan, kad pengenalan dan sekeping nota bertaip yang antara lain menceritakan
masalah dihadapi termasuk tekanan kerana diburu along akibat berhutang sebanyak
RM50,000.
Susulan penemuan mayat itu, polis
menahan seorang lelaki yang dipercayai tunang Rosshida di Cyberjaya semalam
bagi membantu siasatan dan suspek yang berasal dari Kota Bharu mengaku
mencampakkan mangsa di tempat kejadian.