Sabtu, 4 Julai 2015

Pian Pendek dipenjara tiga tahun


KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki dikenal ‘Pian Pendek’ akhirnya dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, semalam, kerana melakukan pecah rumah dan melarikan diri dari lokap mahkamah.

Keputusan itu dibuat Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi selepas Pian Pendek  atau nama sebenarnya, Mohd Safian Ali, 28, dari Kampung Dusun, Kuala Ibai, di sini, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana tentangan atau galangan oleh seseorang terhadap penangkapan yang sah di sisi undang-undang atas dirinya.


Berdasarkan pertuduhan pertama, Pian Pendek mengaku salah memecah masuk rumah milik Abdul Aziz Abd Kadir, 54, dan mencuri tiga unit telefon tangan jenama Samsung bernilai RM2,500.

Dia mengaku salah melakukan jenayah itu di sebuah rumah di Jalan Melati 1 Taman Chendering, di sini, jam 4.30 petang, pada 9 Jun lalu.

Selain itu, dia turut mengaku salah dengan sengaja lari daripada jagaan pihak polis selepas ditahan di lokap Mahkamah Kuala Terengganu, Kompleks Mahkamah Terengganu, Jalan Sultan Mohamad, di sini, jam 2.15 petang, 29 Jun lalu.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Rozianti menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun manakala hukuman penjara selama dua tahun bagi kesalahan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, Rozianti memerintahkan hukuman berkenaan dijalankan serentak.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan L Rathna.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Abdul Rahman berkata, suspek yang melarikan diri dari lokap Mahkamah Kuala Terengganu pada Isnin lalu dicekup di rumahnya di Kampung Dusun, Kuala Ibai, di sini, kelmarin.

Katanya, suspek dicekup sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu lebih kurang jam 5.20 petang.

“Serbuan dilakukan pihaknya selepas menerima maklumat mengenai kehadiran suspek di rumah ibunya dan ketika ditahan, suspek turut positif dadah jenis morfin sebelum dibawa ke IPD Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...