SEREMBAN – Kadar jenayah di Negeri Sembilan bagi 2010 turun, khasnya jenayah keganasan dan jenayah harta.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asistan Komisioner Datuk Abd Manan Mhd Hassan berkata, jumlah kes dilaporkan 6,851 tahun lalu, berbanding 7,963 kes pada 2009, menurun 1,112 kes atau -13.96 peratus.
“Jumlah kes jenayah jalanan 522 kes tahun lalu berbanding 683 tahun sebelum (2009), ia menunjukkan penurunan 161 kes atau -23.57 peratus.
“Dari aspek penyiasatan kes jenayah pula, kita perlu gandakan usaha ke arah meningkatkan penyelesaian kes terutama kes jenayah harta benda,” katanya kepada media selepas majlis perhimpunan Peringatan Hari Polis ke-204 Kontinjen Negeri Sembilan di padang kawad Sekolah Latihan Kontinjen Negeri Sembilan, di sini, semalam.
