Ahad, 27 Mac 2011

Indeks jenayah NS menurun

SEREMBAN – Kadar jenayah di Negeri Sembilan bagi 2010 turun, khasnya jenayah keganasan dan jenayah harta. 

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asistan Komisioner Datuk Abd Manan Mhd Hassan berkata, jumlah kes dilaporkan 6,851 tahun lalu, berbanding 7,963 kes pada 2009, menurun 1,112 kes atau -13.96 peratus. 

“Jumlah kes jenayah jalanan 522 kes tahun lalu berbanding 683 tahun sebelum (2009), ia menunjukkan penurunan 161 kes atau -23.57 peratus. 

“Dari aspek penyiasatan kes jenayah pula, kita perlu gandakan usaha ke arah meningkatkan penyelesaian kes terutama kes jenayah harta benda,” katanya kepada media selepas majlis perhimpunan Peringatan Hari Polis ke-204 Kontinjen Negeri Sembilan di padang kawad Sekolah Latihan Kontinjen Negeri Sembilan, di sini, semalam. 

Menurutnya, kadar penyelesaian adalah 3,323 kes, bersamaan 48.50 peratus pada tahun lalu, berbanding 3,844 kes atau 48.27 peratus tahun sebelumnya. 

“Kes jenayah narkotik, pada keseluruhannya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri mencapai kejayaan cemerlang tahun lalu. 

“Tangkapan pengedar dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985 meningkat 11.6 peratus berbanding 2009, iaitu seramai 385 orang tahun lalu dan 345 orang tahun sebelumnya,” katanya. 

Abd Manan berkata, bagi kes memiliki dadah, seramai 1,031 orang berjaya ditangkap tahun lalu, berbanding 911 orang pada 2009 iaitu peningkatan 15.3 peratus. 

“Justeru, tangkapan ke atas penagih dadah di bawah Akta Penagih Dadah dan Pengguna Dadah, di bawah Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 meningkat 15.7 peratus bersamaan 4,777 orang tahun lalu, berbanding 4,127 orang pada 2009. 

“Sepanjang 2010, jumlah sitaan harta oleh bahagian perlucutan harta JSJN, IPK negeri, mencatat RM1.66 juta dan jumlah telah dilucutkan sebanyak RM443,000,” katanya. 

Bagi kes jenayah komersial, Abd Manan berkata, terdapat penurunan 145 kes atau -11.6 peratus berbanding 2009. 

“Namun, laporan kes kemalangan jalan raya di seluruh negeri mencatatkan peningkatan 19,407 kes pada 2010 berbanding 18,367 kes tahun sebelumnya. 

“Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya meningkat seramai 22 orang iaitu 399 kematian pada 2010, berbanding 377 kematian pada 2009,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...