Ahad, 27 Mac 2011

Pengedar amatur masuk jerat

RAMPAS...Mohamad menunjukkan dadah yang dirampas.

KLANG: Cubaan seorang pengedar dadah amatur untuk menipu polis dengan menyimpan bahan terlarang itu dalam beberapa kotak biskut tidak menjadi apabila polis menemui lebih dua kilogram (kg) pelbagai jenis dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Juara, di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 6.30 pagi itu, empat anggota polis diketuai Inspektor Nor Azfandy Azemi dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menahan suspek berusia 33 tahun itu serta merampas pelbagai jenis dadah membabitkan heroin seberat 915 gram, syabu (629 gram), ketamin (249 gram) dan 1,000 pil eramin.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, pada mulanya polis menemui 13 gram syabu di tubuh suspek dan dia mengaku hanya penagih biasa serta tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Helah itu digunakan bagi mengelak polis meneruskan pemeriksaan di rumah terbabit yang bakal mengundang padah dan mungkin membawa suspek ke tali gantung jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.


“Namun, selepas beberapa minit, polis yang meneruskan pemeriksaan di rumah berkenaan menemui kira-kira dua kilogram dadah pelbagai jenis dibungkus kemas di dalam beberapa kotak biskut,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.



Beliau berkata, pihaknya tidak menghadapi masalah mengesan taktik lelaki itu dan menyifatkannya sebagai pengedar dadah amatur.

Katanya, suspek yang direman tujuh hari akan dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Klang minggu depan dan siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Ditanya mengenai latar belakang suspek, Mohamad berkata, lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini dan polis percaya dia terjebak dengan kegiatan itu beberapa bulan lalu menerusi rangkaian pengedar dadah beroperasi di sekitar Lembah Klang.


“Dadah yang dirampas kebanyakannya sudah dibungkus dalam peket kecil untuk dijual kepada penagih di daerah ini. Ini membuktikan lelaki itu pengedar kecil-kecilan,” katanya.

Menurutnya, dadah yang sudah dibungkus itu dipercayai dijual pada harga di antara RM80 dan RM300 mengikut jenis dan gred.

Menurutnya, serbuan itu adalah kejayaan ke-14 dicatat sepanjang tahun ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya membabitkan 335 pengedar dan 211 penagih dadah di bandar ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...