Ahad, 27 Mac 2011

Warga Myanmar tunjuk gedeber dan memiliki dadah

CHUKAI – Tidak gentar dengan undang-undang. Sebilangan warga Myanmar di bandar Seri Bandi masih meneruskan aktiviti mengedar dan menyalahgunakan dadah secara berleluasa, walaupun mereka sebelum ini sudah kerap dicekup polis. 

Susulan itu, polis mengadakan operasi berterusan dan terbaru dilakukan awal pagi kelmarin yang membawa kepada penangkapan seramai empat lelaki warga Myanmar berusia antara 20 hingga 40 tahun. 

Dalam operasi yang dilakukan bermula jam 1 hingga 6 pagi itu, polis turut menjumpai 30 biji pil kuda daripada seorang suspek, manakala tiga yang lain pula positif dadah hasil ujian air kencing dijalankan. 
Ketua Polis daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, operasi dari rumah ke rumah itu dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah susulan maklumat mengenai aktiviti jualan pil kuda di kawasan terbabit. 

Menurutnya, polis percaya dadah yang berjaya dirampas adalah untuk pasaran kawasan Felda Bandar Seri Bandi itu. 

Malah katanya, warga asing yang dipercayai mendalangi urus niaga jual beli dadah itu sangat licik kerana pasaran mereka bukan sahaja di bandar Seri Bandi, tetapi turut disyaki beroperasi di Cheneh dan Pekan, Pahang. 

“Semua suspek yang ditangkap itu seolah-olah tidak takutkan undang-undang kita. 

" Malah, mereka menganggap kegiatan dadah ini bukanlah satu kesalahan. Jadi kita bertindak lebih agresif,” katanya ketika ditemu sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-204 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, dekat sini, semalam. 

Menurut Abdullah Sani, suspek yang ditahan kini direman sebelum didakwa di mahkamah esok. 

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama. 

Katanya, bukan sahaja kes dadah, malah penjualan air ketum yang didalangi warga Manyamar juga berleluasa di kawasan terbabit. 

Berikutan itu, beliau meminta penduduk setempat bekerjasama menyalurkan maklumat supaya kes itu dapat dibendung, seterusnya tindakan tegas termasuk hukuman buang daerah akan dilakukan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...