Ahad, 27 Mac 2011

69 terima surat penghargaan

TAMPIN – Seramai 69 individu, terdiri daripada anggota polis, kadet dan pegawai, sukarelawan polis, kakitangan awam serta orang awam menerima surat penghargaan daripada Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang sempena sambutan Peringatan Hari Polis Ke-204 di Stadium Mini Tampin. 

Mendahului penerimaan surat penghargaan bagi anggota polis adalah Ketua Polis Balai Tampin, Chif Inspektor Md Yunos Md Jeni dan bagi orang awam pula adalah Pengurus Cawangan Bank Rakyat Tampin, Abd Rahim Shahimi Shabudin. 

Kooi Cheang berkata, surat penghargaan itu diberikan bagi meningkatkan motivasi penerimanya untuk terus bersama pasukan polis melaksanakan pelbagai aktiviti pencegahan jenayah demi kesinambungan kesejahteraan yang dinikmati hari ini. 
“Justeru, seramai 30 anggota polis, empat kadet dan pegawai, dua sukarelawan polis dan kakitangan awam serta 31 orang awam telah menerima penghargaan bagi membuktikan keutuhan kerjasama kedua-dua pihak memikul tanggungjawab mencegah jenayah secara bersama. 

“Malah, bagi anggota polis khususnya di Daerah Tampin ini, kita harap agar mereka terus melipatgandakan komitmen dan pencapaian menangani jenayah di daerah ini, seterusnya menyampaikan mesej kepada masyarakat untuk sentiasa bersama-sama dengan pasukan polis dalam apa sahaja situasi,” katanya. 

Kooi Cheang berkata, penyampaian surat penghargaan kepada orang awam pula bertujuan menunjukkan rasa terima kasih dan berbesar hati daripada pasukan polis kerana mereka sentiasa bekerjasama menyalurkan maklumat mengenai jenayah, seterusnya melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai warganegara prihatin kepada kesejahteraan penempatan mereka. 

Menurutnya, adalah menjadi hasrat pasukan polis terutama di Daerah Tampin bagi memastikan statistik jenayah menurun. 

“Kita percaya, penurunan ini mampu dicapai, bukan hanya komitmen oleh anggota polis itu sendiri, bahkan kerjasama dan juga hubungan baik antara polis, orang awam dan juga organisasi yang terdapat di Daerah Tampin bagi menjayakan usaha pencegahan jenayah secara bersama,” katanya. 

Hadir sama, Pegawai Daerah Tampin, Razali Bakar.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...