Ahad, 27 Mac 2011

48 Anggota Polis Terima Anugerah

BANDAR PERMAISURI – Seramai 48 orang terdiri daripada 32 pegawai dan anggota polis, lapan kakitangan awam yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu serta lapan ahli Persatuan Keluarga Polis Diraja (Perkep) menerima sijil penghargaan Khidmat Cemerlang. 

Penyampaian sijil penghargaan itu disampaikan Ketua Polis daerah Setiu, Deputi Superintendan (DSP) Rohaizat Abd Ani sempena sambutan Hari Polis ke-204 peringkat IPD di dewan IPD Setiu, semalam. 
Pemilihan berdasarkan penilaian dan prestasi kerja membanggakan serta komitmen yang bersungguh-sungguh dalam memastikan kredibiliti PDRM menjadi teras utama. 

Menurut Rohaizat, setiap penerima sijil penghargaan terbabit perlu memberikan yang terbaik dalam perkhidmatan agar usaha dilakukan sentiasa berterusan, sekali gus mengharumkan nama institusi kepolisan. 

“Anggota yang tidak menerima sijil penghargaan ini wajar menjadikan ia motivasi dan tidak mudah berputus asa. Apa yang penting, kesungguhan menjalankan tanggungjawab dan amanah. 

“Kita mengharapkan penghargaan ini akan memberi penyuntik semangat kepada pegawai dan anggota polis dalam menyumbang bakti tanpa terhad kepada masa tertentu sahaja,” katanya. 

Sementara itu, dalam ucapan perutusan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang dibacakan Rohaizat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan rakyat berada dalam keadaan selamat, seterusnya dapat melakukan rutin harian seperti biasa. 

Selain itu, indeks jenayah juga akan dipastikan berada dalam kadar minimum selari dengan transformasi kerajaan untuk menjadikan PDRM pasukan keselamatan yang terus disegani rakyat. 

Dalam amanat itu juga, warga PDRM disarankan untuk fokus dan komited pada tugasan selari dengan konsep 4P yang telah digariskan termasuk Pelindung, Proaktif, Prestasi dan Penumpuan terhadap masyarakat. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...