Ahad, 27 Mac 2011

Dijel 12 bulan kerana ceroboh

JOHOR BAHRU – Seorang pekerja kilang besi buruk dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, selepas mengaku bersalah menceroboh dengan niat mencuri, kelmarin. 

Tertuduh, S Krishnan, 18, didakwa di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibicara bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara selama lima tahun atau denda sekiranya sabit kesalahan dan sekiranya didapati melakukan kecurian boleh dilanjutkan tempoh penjara sehingga 14 tahun. 

Krishnan didakwa melakukan pencerobohan atau pecah kilang dengan niat mencuri bersama seorang rakan lain yang masih bebas sebelum ditangkap polis pada 17 Januari lalu berdasarkan kertas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Shahid Abdul Malek. 
Tertuduh tidak menunjukkan sebarang reaksi, sebaliknya hanya mengangguk faham dan mengaku kesalahan dilakukan dan meminta supaya hukuman yang dikenakan dapat dikurangkan. 

Mengikut fakta kes, pemilik kilang terbabit di dalam laporan polis yang dibuatnya mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM20,000 apabila terdapat beberapa barangan didapati hilang dalam kuantiti besar. 

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tan Poh Vun, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...