Ahad, 27 Mac 2011

Kerjasama, senjata canggih

BATU GAJAH – Anggota masyarakat diminta sentiasa berganding bahu membantu menyalurkan maklumat kepada polis dalam usaha memerangi jenayah. 

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Najib Mohamad berkata, tanpa bantuan dan maklumat orang ramai, pihak polis tidak akan berjaya membendung kegiatan jenayah dengan lebih berkesan. 

“Dengan maklumat daripada masyarakat, saya yakin pihak polis dapat memberi perkhidmatan terbaik bagi menjaga keselamatan awam. 
“Malah, kerjasama erat antara polis dengan masyarakat menjadi senjata paling canggih dalam membanteras jenayah yang kini menjadi tanggungjawab kita bersama,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena sambutan Hari Polis Ke 204 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah, di sini, semalam. 

Dalam perkembangan sama, Najib turut menggesa anggota dan pegawai polis Batu Gajah meningkatkan integriti dan kredibiliti ketika menjalankan tugas. 

Menurutnya, integriti yang ditunjukkan itu akan memberi keyakinan kepada masyarakat untuk berdepan dengan pasukan keselamatan berkenaan. 

“Kerjasama yang baik, gerak kerja yang cekap dan berdisiplin akan menjadikan usaha kita menangani masalah jenayah khususnya di kawasan ini menjadi mudah, sekali gus menjamin kesejahteraan orang ramai di kawasan ini,” katanya. 

Terdahulu, beliau membacakan perutusan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar sebelum melakukan pemeriksaan barisan sempena sambutan Hari Polis berkenaan. 

Najib kemudiannya menyampaikan sijil dan hadiah penghargaan kecemerlangan kepada anggota dan pegawai polis serta kakitangan awam yang sebelum ini banyak membantu pihaknya menangani masalah jenayah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...