Ahad, 27 Mac 2011

Kes curi motosikal paling tinggi

KUALA BERANG - Kes kecurian motosikal dikenal pasti masih lagi menjadi penyumbang tertinggi kadar jenayah di daerah ini dan lokasi yang sering menjadi fokus sasaran kegiatan itu ialah di kawasan perkampungan. 

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Tengku Hamzah Tengku Abdullah berkata, daripada 22 kes keseluruhan yang dilaporkan bagi tempoh 1 Januari tahun ini hingga kelmarin, tujuh daripadanya melibatkan kecurian motosikal iaitu lima di kawasan perkampungan serta satu kes di masjid dan pejabat. 

“Walaupun secara keseluruhannya kadar jenayah di daerah ini menurun 40.54 peratus berbanding tahun lalu, namun kes kecurian motosikal masih lagi dikenal pasti sebagai penyumbang tertinggi. 
“Bagaimanapun, jumlah ini juga menurun berbanding tahun lalu yang mencatatkan sebanyak 18 kes kecurian motosikal bagi tempoh sama. Jenis motosikal sering menjadi sasaran pula ialah Honda dan kebiasaannya kes berlaku antara jam 12 tengah malam hingga enam pagi,” katanya. 

Beliau berkata, memandangkan kawasan perkampungan sering menjadi sasaran pencuri, diharap pemilik lebih bertanggungjawab terhadap motosikal masing-masing kerana hasil siasatan sebelum ini menunjukkan ada dalam kalangan mereka bukan sahaja gagal menyediakan kunci tambahan tetapi ada yang membiarkannya tanpa berkunci. 

“Langkah keselamatan seharusnya perlu diberi perhatian oleh orang awam kerana kecuaian mereka memberi peluang kepada penjenayah melakukan aktiviti mereka,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Sambutan Hari Polis ke-204 di Kompleks Perumahan PDRM, di Kuala Berang, di sini, semalam. 

Sempena majlis itu, 82 individu terdiri daripada pegawai, anggota, ahli Persatuan Keluarga Polis Daerah Hulu Terengganu, kakitangan awam, pekerja am serta orang awam menerima surat penghargaan daripada Tengku Hamzah dan beliau turut menyampaikan perutusan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar. 

Kata Tengku Hamzah, sambutan hari polis kali ini juga begitu bermakna memandangkan ia tahun terakhir baginya sebelum menamatkan perkhidmatannya dalam PDRM pada November depan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...