KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat dakwaan salah laku berhubung pelantikan syarikat penyedia latihan bagi program Pengiktirafan Pembelajaran Terdahulu (RPL) di bawah Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF).
Pengarah Penyiasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali memberitahu Bernama bahawa agensi itu akan menyiasat dakwaan itu daripada setiap sudut.
"Kami akan meneliti setiap aspek tentang dakwaan itu terutama jika berlaku amalan rasuah," kata beliau.
Mustafar diminta mengulas laporan mengenai dakwaan itu, yang didedahkan seorang pemberi maklumat, bahawa berlakunya salah laku dalam pelantikan syarikat penyedia latihan dan penyingkiran ketua pegawai eksekutifnya yang membantah pelantikan syarikat itu.