Selasa, 13 Mei 2014

SPRM siasat dakwaan salah laku pelantikan syarikat di bawah HRDF


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat dakwaan salah laku berhubung pelantikan syarikat penyedia latihan bagi program Pengiktirafan Pembelajaran Terdahulu (RPL) di bawah Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF).
Pengarah Penyiasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali memberitahu Bernama bahawa agensi itu akan menyiasat dakwaan itu daripada setiap sudut.
"Kami akan meneliti setiap aspek tentang dakwaan itu terutama jika berlaku amalan rasuah," kata beliau.
Mustafar diminta mengulas laporan mengenai dakwaan itu, yang didedahkan seorang pemberi maklumat, bahawa berlakunya salah laku dalam pelantikan syarikat penyedia latihan dan penyingkiran ketua pegawai eksekutifnya yang membantah pelantikan syarikat itu.
HRDF menguruskan kira-kira RM1 bilion caruman mandatori majikan bagi pembangunan modal insan.
Sementara itu, Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa Kementerian Sumber Manusia membuat pendedahan sepenuhnya mengenai fakta kes itu termasuk layanan yang dikatakan diberikan kepada syarikat terbabit.
Presidennya, Datuk Akhbar Satar berkata dengan RM1 bilion perlu diruskan, HRDF harus beroperasi secara telus dan bebas daripada amalan rasuah.
"Wang pembayar cukai tidak harus disalah guna atau disalah urus," kata beliau dalam kenyataan di sini, hari ini.
Memandangkan perkara itu telah dilaporkan kepada SPRM, beliau mendesak SPRM menjalankan siasatan lengkap tanpa mengira kedudukan dan mengambil tindakan sewajarnya tanpa rasa gentar. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...