Jumaat, 11 Mac 2011

Rumah pusaka hilang dicuri

KANGAR: Kecurian barangan dalam rumah mungkin jenayah biasa, namun seorang suri rumah di sini amat terkejut apabila mendapati rumah pusakanya yang terletak di Jalan Raja Syed Alwi dekat sini, hilang. 

Kehilangan rumah kayu setingkat berusia 60 tahun itu disedari Zuria Ali, 30, Khamis lalu apabila dihubungi penduduk yang tinggal berhampiran rumah terbabit.
"Saya bergegas pulang ke Perlis keesokan harinya (Jumaat) dan terkejut kerana yang tinggal hanya tapak rumah dan 24 pelapik tiang konkrit," katanya yang melaporkan kejadian itu kepada polis pada hari sama.

P. Pinang kutip RM24 juta saman

GEORGE TOWN - Polis Pulau Pinang mengutip RM24 juta bayaran saman daripada pesalah trafik selepas polis mengumumkan insentif 50 peratus diskaun sejak Ogos lepas.
Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, pihaknya turut mencatat pertambahan luar biasa mereka yang ingin membayar saman iaitu dengan purata 500 hingga 600 orang sehari pada waktu bekerja.
"Sepanjang tempoh itu jumlah paling banyak kutipan bayaran saman ialah pada 1 Mac hingga semalam iaitu sebanyak RM6.13 juta,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan hari terakhir orang ramai membayar saman di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini hari ini.

Kegiatan samun kereta mewah lumpuh

KUALA LUMPUR – Taktik licik 11 lelaki yang menyamun kereta mewah dengan cara melanggar belakang kereta tersebut di kawasan sunyi tumpas selepas polis menahan mereka serta merampas lapan kereta mewah bernilai RM1 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, kesemua lelaki berumur 20 hingga 35 tahun itu ditahan sejak dua minggu lalu yang dipercayai terbabit lebih 10 kes samun kereta mewah di lebuh raya di sekitar Lembah Klang sejak awal tahun ini.
"Antara kereta mewah yang berjaya dirampas ialah Toyota Alphard, BMW, Mitsubishi Airtrek, Honda Civic dan Toyota Altis.

Dicekup 8 jam lepas samun

ALOR SETAR - Seorang lelaki yang dipercayai menyamun jirannya kira-kira lapan jam sebelum itu, berjaya ditahan di rumah sewanya di Taman Seri Merpati di Jalan Kuala Kedah, dekat sini, awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata, turut dirampas dari rumah lelaki berusia 33 tahun itu ialah sepucuk pistol, beberapa butir peluru serta gari.
"Lelaki itu ditahan kira-kira pukul 3 pagi tadi di rumah sewanya selepas polis menerima maklumat daripada orang awam.
"Sebelum itu suspek dipercayai menyamun rumah mangsa yang terletak di kawasan kejiranan yang sama kira-kira pukul 7.30 malam dan melarikan wang tunai RM400 serta barang kemas yang dipakai mangsa,” katanya kepada pemberita di sini.

Penjara 9 tahun, 13 sebatan

GEORGE TOWN - Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan 13 sebatan terhadap bekas pemandu bagi dua kesalahan memiliki dadah empat tahun lepas.
Bagi kesalahan pertama tertuduh A. Rejini Ganth, 34, dihukum penjara sembilan tahun dan 10 sebatan manakala kesalahan kedua hukuman penjara tiga tahun dan tiga sebatan.
Bagaimanapun hakim Nurmala Salim mengarahkan hukuman penjara dijalankan serentak dari tarikh ditangkap.
Bagi tuduhan pertama dia didakwa memiliki heroin seberat 23.5 gram dan monoacetylmorphines seberat 30.3 gram di sebuah bilik bernombor 6224, Hotel Pearl View, Seberang Perai pada 5.25 petang, 19 Sept 2007.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...