Jumaat, 11 Mac 2011

Penjara 9 tahun, 13 sebatan

GEORGE TOWN - Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan 13 sebatan terhadap bekas pemandu bagi dua kesalahan memiliki dadah empat tahun lepas.
Bagi kesalahan pertama tertuduh A. Rejini Ganth, 34, dihukum penjara sembilan tahun dan 10 sebatan manakala kesalahan kedua hukuman penjara tiga tahun dan tiga sebatan.
Bagaimanapun hakim Nurmala Salim mengarahkan hukuman penjara dijalankan serentak dari tarikh ditangkap.
Bagi tuduhan pertama dia didakwa memiliki heroin seberat 23.5 gram dan monoacetylmorphines seberat 30.3 gram di sebuah bilik bernombor 6224, Hotel Pearl View, Seberang Perai pada 5.25 petang, 19 Sept 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minima lima tahun dan 10 sebatan.
Bagi tuduhan kedua, Rejini didakwa memiliki methamphetamine seberat 19 gram pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Dia dituduh mengikut Seksyen 12(2) akta yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) yang membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang tiga sebatan dan tidak melebihi sembilan sebatan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muna Mohamed Jaafar dan tertuduh diwakili peguam S.Yagoo. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...