Jumaat, 11 Mac 2011

Warga Nepal dipenjara 10 tahun, sebabkan kematian rakan

KLUANG 10 Mac – Seorang warga Nepal hari ini dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini sebagai hukuman kerana menyebabkan kematian rakan karibnya dengan memukul dan menjerut mangsa menggunakan seurat dawai, dua tahun lalu.

Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman ke atas Dhan Bahadur Bishwakarma, 27, selepas tertuduh itu menukar pengakuannya kepada bersalah pada hari pertama kes itu sepatutnya dibicarakan.

Pekerja kilang itu, didakwa menyebabkan kematian Shamsul Anuar Ismail, 26, rakan sekerja dari negara yang sama, di tepi Jalan Padang Tembak Kluang, kira-kira jam 11.30 dan 11.50 malam, pada 15 Julai 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiah Saini memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada semua pekerja asing yang bekerja di negara ini.

“Statistik menunjukkan pergaduhan antara pekerja asing khususnya di negeri Johor terus meningkat dan semakin membimbangkan. Justeru itu hukuman berat adalah perlu sebagai mesej kepada mereka supaya lebih menghormati undang-undang,” katanya.

Abu Bakar turut mempersoalkan tindakan tertuduh yang bertindak ganas dengan memukul dan mencekik rakannya sendiri sehingga menyebabkan kematian.

“Malaysia ada adat dan undang-undang sendiri, jangan hendak buat perangai sesuka hati. Menyesal pun tidak guna kerana bukan saja kawan baik awak sudah meninggal, malah awak turut dikenakan hukuman,” katanya.

Menurut fakta kes, tertuduh dan si mati menetap di asrama pekerja yang sama dan pada hari kejadian keluar bersiar-siar bersama.

Bagaimanapun berlaku perselisihan faham menyebabkan tertuduh memukul si mati menggunakan tangannya sebelum menjerut mangsa menggunakan seurat dawai. - Utusan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...