Jumaat, 11 Mac 2011

Kegiatan samun kereta mewah lumpuh

KUALA LUMPUR – Taktik licik 11 lelaki yang menyamun kereta mewah dengan cara melanggar belakang kereta tersebut di kawasan sunyi tumpas selepas polis menahan mereka serta merampas lapan kereta mewah bernilai RM1 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, kesemua lelaki berumur 20 hingga 35 tahun itu ditahan sejak dua minggu lalu yang dipercayai terbabit lebih 10 kes samun kereta mewah di lebuh raya di sekitar Lembah Klang sejak awal tahun ini.
"Antara kereta mewah yang berjaya dirampas ialah Toyota Alphard, BMW, Mitsubishi Airtrek, Honda Civic dan Toyota Altis.

"Modus operandi kumpulan ini adalah dengan sengaja melanggar kereta mangsa di kawasan sunyi sebelum melarikan kereta serta barangan berharga mereka. Mangsa pula akan ditinggalkan di tepi jalan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Katanya, daripada tangkapan itu, polis turut menjumpai parang, kayu dan pistol yang mungkin digunakan suspek sebagai senjata untuk mengugut mangsa.
Bakri berkata, polis, melalui Ops Lejang Elite, yang dilancarkan untuk mengesan kegiatan samun kereta mewah pada ketika ini sedang giat mengesan saki baki anggota kumpulan itu yang menggunakan modus operandi sama. – Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...