Jumaat, 11 Mac 2011

Saman pemilik motosikal cuai

RAUB – Polis akan mengenakan tindakan saman terhadap pemilik motosikal yang didapati cuai menjaga kenderaan masing-masing. 

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub,Cif Inspektor Mohd Nazlan Othman (gambar) berkata, individu yang meninggalkan motosikal dalam keadaan tidak berkunci akan dikenakan saman.

Menurutnya, saman yang dikeluarkan bertujuan untuk menyedarkan pemilik motosikal bahawa mereka juga berperanan untuk menjaga keselamatan hak masing-masing. 

“Sikap cuai perlu dielakkan kerana ia memudahkan lagi niat individu tidak baik untuk mencuri motosikal tanpa sebarang halangan dalam tempoh yang mudah. 
“Biarpun untuk tempoh masa yang singkat, pemilik motosikal perlu menguncinya termasuk menggunakan kunci kedua,” katanya ketika ditemui di sini. 

Katanya, masyarakat perlu meningkatkan kesedaran untuk bertindak mencegah daripada menjadi mangsa kecurian motosikal. 

“Sekiranya semasa rondaan berkala mendapati pemilik meninggalkan motosikal tanpa dikunci, tindakan saman akan dikenakan tanpa kompromi demi untuk menjaga harta orang awam. 

“Masyarakat setempat juga perlu bertindak menjadi mata dan telinga komuniti masing-masing bagi membantu polis sebagai usaha pencegahan agar jenayah kecurian motosikal dapat dibendung,” kata Mohd Nazlan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...