Jumaat, 11 Mac 2011

MB cadang pelajar pukul rakan dihantar sekolah pemulihan

SIMPANG EMPAT – Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu mencadangkan supaya empat pelajar yang ditahan polis kerana terlibat dalam kes memukul rakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Saffi di sini, dihantar untuk pemulihan. 

Beliau berkata, kesemua mereka yang terlibat dalam kes memukul ketua kelas, Muhamad Shahfaly Anoar dari Tiga Arif Jumaat lalu perlu dihantar ke sekolah pemulihan supaya mereka insaf dan tidak mengulangi perbuatan sama. 

“Walaupun kesalahan yang dilakukan itu amat serius tetapi usaha untuk memulihkan dan memberi pendidikan kepada mereka adalah wajar kerana usia mereka masih muda. 
“Saya khuatir sekiranya diberi hukuman buang sekolah, mereka tidak akan sedar kesilapan yang dilakukan sebaliknya akan menyebabkan mereka lebih terpesong berikutan tidak mendapat pendidikan di sekolah. 

“Justeru, saya berpendapat hukuman buang sekolah adalah kurang sesuai,” katanya ketika melawat Muhamad Shahfaly Anoar, 15, di rumah datuknya di Kampung Syed Kassim, di sini, kelmarin. 

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, empat pelajar yang ditahan polis selepas terbabit dalam kes pukul rakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Saffi, di sini, bakal berhadapan tindakan buang sekolah. 

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perlis, Mansor Lat berkata, tindakan itu akan diambil selepas polis menyelesaikan kes terlebih dahulu mengikut peraturan perundangan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...