Jumaat, 11 Mac 2011

2 pasangan suami isteri ditahan

KAMPUNG SUNGAI NAMEK - Tindakan nekad dua pasangan suami isteri mengejar keuntungan segera dengan menjual air daun ketum bagi mendapatkan pendapatan sampingan akhirnya membawa padah apabila mereka berjaya ditahan, awal pagi semalam. 

Difahamkan, kedua-dua lelaki yang ditahan dalam kes berasingan mempunyai talian persaudaraan dan mereka dipercayai melakukan perniagaan itu sejak beberapa bulan lalu. 

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superitendan Zaidong Mustaffa berkata, kedua-dua kes itu mendapatkan sumber bekalan bahan mentah secara percuma kerana menanam sendiri pokok ketum di sekeliling rumah. 
Menurutnya, dalam kes pertama, serbuan dilakukan sekitar jam 7 pagi dalam sebuah rumah tidak bernombor oleh lapan anggota detektif Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Sik dengan diketuai Inspektor Awang Rablin Kasta. 

“Dalam serbuan tersebut, pihak polis berjaya menemui 84 bungkusan plastik berisi air ketum seberat 16.80 liter yang disembunyikan dalam bilik air rumah bersama dengan peralatan memasak air ketum, periuk, tong gas serta dapur memasak. 

“Dipercayai air ketum itu akan dijual kepada pelanggan yang singgah ke gerai isteri suspek dengan alasan ingin membeli nasi lemak, namun tujuan asal sebenar ingin mendapatkan air itu,” katanya kepada Sinar Harian. 

Zaidong berkata, mengikut harga pasaran bagi sebungkus air ketum itu biasanya akan dijual dengan harga RM2 dan mereka boleh mendapatkan pulangan pendapatan sekitar RM168 sehari. 

“Berdasarkan hasil maklumat orang awam, gerai nasi lemak tersebut beroperasi pada waktu pagi manakala sebelah petang menjual laksa, dan pelanggan sering ke sana untuk mendapatkan bekalan mereka. 

“Kedua-dua suspek yang ditahan berketurunan Melayu, lelaki berumur 39 tahun manakala isterinya berumur 31 dan hasil ujian saringan awal polis terhadap lelaki berkenaan mendapati positif dadah ketamine,” katanya. 

Menurutnya, kes kedua, serbuan dilakukan di sebuah rumah yang juga tidak bernombor dengan jarak kira-kira 20 meter dari rumah pertama sekitar jam 7.15 pagi. 

“Semasa serbuan dibuat mendapati terdapat sepasang suami isteri tinggal di rumah tersebut dan apabila menyedari kehadiran polis, suspek lelaki cuba bertindak agresif manakala isterinya berlari ke bilik air rumah untuk memecahkan bungkusan plastik air ketum. 

“Dipercayai air ketum itu akan dijual kepada pelanggan kebanyakannya terdiri daripada golongan penoreh getah yang datang ke rumah mereka dan urus niaga dilaksanakan antara jam 5 hingga 6 pagi sebelum pelanggan ke tempat kerja,” katanya. 

Zaidong berkata, polis berjaya menahan kedua-duanya dan mereka turut merampas 14 bungkusan air ketum seberat 2.8 liter, periuk, tong gas, dapur memasak serta satu beg plastik berisi daun ketum seberat 2.5 kilogram. 

“Suspek lelaki yang ditahan berumur 33 tahun dan ujian awal polis mendapati suspek tersebut positif dadah ketamine, manakala isterinya berumur 28 tahun juga ditahan,” katanya. 

Menurutnya, kedua-dua kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan jika disabitkan kesalahan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya sekali.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...