Khamis, 21 November 2013

PDRM PERKENAL PASUKAN ELIT JSJ


Kuala Lumpur, 21 Nov - Sebentar tadi, bertempat di Pulapol Kuala Lumpur, telah berlangsung satu demonstrasi ‘Counter Strike’ dan ‘Hostage Resque’ yang telah dilaksanakan oleh pegawai dan anggota daripada Pasukan Elit Taktikal Ops Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 
Pasukan ini telah ditubuhkan sebagaimana telah diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri pada 22 Ogos 2013 sempena mesyuarat di antara KDN dan PDRM baru-baru ini.

 
Kelulusan bagi kekuatan sumber manusianya seramai 400 orang telah diberikan dengan berorientasikan kepada 2 pasukan elit bagi menangani dua permasalahan iaitu berkaitan kes-kes jenayah dengan efisien dan pembanterasan permasalahan dadah.

 
Operasi-operasi pasukan ini adalah bersifat multi-tasking dalam mengurus dan menangani isu-isu jenayah, jenayah berat, jenayah bersindiket, gangsterisme, perjudian, pelacuran dan pemerdagangan manusia.

Berkonsepkan ‘Intelligence Led Policing And Aggresive Action On Organized Crime’ pasukan ini akan melangsungkan operasi secara langsung di kontinjen serta daerah yang dikenalpasti dengan dikawal selia secara langsung oleh pihak Bukit Aman.

 
Tan Sri Dato’ Sri Khalid bin Abu Bakar, Ketua Polis Negara dalam kenyataannya hari ini berkata, sebanyak 200 perjawatan telah diperuntukkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) manakala 200 lagi kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).

 
Pihak JSJ sehingga kini telah melaksanakan 2 siri pemilihan pegawai dan anggota dari pelbagai formasi dan unit tindakan dalam PDRM mulai penghujung Oktober yang lepas dan dijangka, pasukan ini akan beroperasi sepenuhnya 1 Januari 2014.

Kesemua mereka akan dihantar untuk menjalani kursus-kursus tempur dan taktikal yang akan dikendalikan oleh jurulatih dari Pasukan Komando Vat 69 dan Unit Tindak Khas (UTK) PDRM.

Turut hadir pada hari ini, Pengarah-pengarah, Timbalan-timbalan Pengarah, Pegawai-pegawai Kanan PDRM serta wakil-wakil media.

'TUHAN HARUN' DITANGKAP, PENGIKUT SERAH DIRI


KUANTAN - Seorang pengikut kumpulan ajaran sesat Ajaran Harun Mohd Nizam Mohd Salleh, 43, tampil menyerah diri di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.

Pada 15 November lepas, mahkamah mengeluarkan waran tangkap ke atasnya kerana gagal hadir perbicaraan kes menyimpan dan memiliki dokumen yang bercanggah dengan hukum syarak.

Hakim, Syarie Mohd Azahari Abdul Rahman menetapkan 16 Januari depan untuk sebutan semula kes tersebut di dalam kamarnya.

Bercakap kepada pemberita, Timbalan Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Mohd Fahmi Abd Jalil berkata selepas meneliti dan mendengar alasan tertuduh, Hakim mengekalkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin ke atasnya.

Mohd Nizam Mohd Salleh
Mohd Nizam dan lima lagi pengikut Ajaran Harun iaitu Husin Ismail, 43; Pius Anahong @ Mahdi Abdullah, 40; Mohd Khalilie Zazali, 31; Syahiszam Soid, 40 dan Mohd Shahril Mohd Jaafar, 28, didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah premis di B16-1st, Lorong Pandan Damai 2/201, di sini pada 6.50 petang, 4 April lepas.


Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 165, Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 yang memperuntukkan hukuman denda RM2,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya. - Bernama

Isnin, 18 November 2013

SKOP SIASATAN KES PENGARAH PENGUATKUASA JAIP DITEMBAK MATI DIPERLUAS



Kuantan,17 Nov - Skop penyiasatan berhubung kes pembunuhan Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Ahmad Raffli Abdul Malek, 49, yang mati ditembak pada 10 Nov lepas diperluaskan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Katanya siasatan tidak hanya tertumpu kepada kumpulan ajaransesat 'Tuhan Harun' semata-mata.

Beliau berkata polis melakukan siasatan dari semua sudut, tidak hanya bertumpu kepada bidang tugas mangsa yang dilaporkan sedang mengendalikan tiga kes iaitu ajaran sesat Tuhan Harun, ajaran Syiah dan operasi kelab malam.

"Polis juga akan memburu yang lain, bukan saja pengikut Tuhan Harun dipanggil, ada juga yang lain diminta tampil untuk membantu siasatan dan kita menyiasat dari semua aspek.

Kes MPV: KPN jamin siasatan terperinci


GEORGETOWN - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi jaminan polis akan menyiasat secara terperinci berhubung kes seorang pemuda melarikan kereta peronda polis (MPV) dan ditemui maut selepas MPV itu merempuh perhentian bas.

Beliau juga memberi jaminan tidak akan melindungi mana-mana anggotanya jika didapati terbabit dalam kematian pemuda itu yang disahkan meninggal dunia akibat tembakan di kepala.

"Setakat ini siasatan awal kita mendapati kecederaan di kepala lelaki itu adalah ditembak olehnya sendiri. Bagaimanapun kita akan menjalankan siasatan secara terperinci.

"Saya sendiri akan ke Kuantan, Pahang petang ini untuk menemui anggota (polis) yang terlibat dalam kejadian untuk menyoal mereka bagi mengetahui situasi sebenar," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

AWAS - SCAM ALERT !!!!



SCAM ALERT : Orang ramai diingatkan agar berhati-hati dengan e-mel dihantar oleh mana-mana institusi kewangan supaya mengemaskini apa-apa maklumat perbankan melalui klik pada pautan yang diberikan. Anda mungkin menjadi mangsa penipuan. 

Modus operandi:

1. Sindiket akan menghantar e-mel secara rawak untuk mempengaruhi mangsa supaya mengemaskini maklumat perbankan mereka
2. E-mel yang dihantar akan disertakan pautan yang menghubungkan pengguna kepada sebuah laman web palsu sesebuah bank. 
3. Mangsa akan dikehendaki mengisi maklumat diruangan disediakan oleh sindiket di laman palsu tersebut.
4. Maklumat kewangan yang diperolehi seperti kata laluan dan password akan digunakan oleh sindiket untuk masuk kedalam perbankan internet mangsa. 

Nasihat Polis

1. Jangan klik pautan yang dihantar oleh bank melalui e-mel kepada anda dan dapatkan pengesahan terlebih dahulu daripada bank berkenaan. 
2. Pastikan anda tidak mendedahkan maklumat keselamatan kewangan anda kepada sesiapa sahaja dalam apa jua keadaan pun
3. Sekiaranya anda telah memasukkan apa-apa maklumat dalam laman yang meragukan, dinasihatkan menghubungi pihak bank dalam kadar yang segera.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...