Khamis, 10 April 2014

AWAS: ‘Penyelenggara Penghawa Dingin’ kebas RM5,000

Gambar hiasan
Klang: Seorang lelaki menyamar sebagai penyelenggara penghawa dingin sebelum melarikan pelbagai barangan berharga milik sebuah keluarga mengakibatkan kerugian RM5,000, dalam kejadian di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5 petang itu, suspek memperdayakan seorang remaja perempuan yang tinggal bersendirian menyebabkan dia bukan saja dibenarkan masuk ke rumah malah ke bilik utama pemilik rumah itu.
Difahamkan, pada mulanya anak perempuan mangsa berusia 17 tahun tidak mengesyaki apa-apa, namun selepas mendapati suspek masuk ke rumah selama beberapa minit, dia mula mengesyaki apabila lelaki itu bergegas keluar dari bilik tergesa-gesa.
Remaja berkenaan melakukan pemeriksaan dalam bilik ibu bapanya sebelum mendapati pintu almari dan kotak berisi barang kemas termasuk rantai, rantai tangan, gelang tangan, cincin, subang dan loket emas ibunya lesap.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat (gambar) ketika mengesahkan mengenai kejadian itu berkata, kejadian laporan kejadian itu dibuat seorang lelaki berusia 38 tahun di Balai Polis Bandar Baru Klang, awal pagi semalam.
Sumber:Mymetro

Rabu, 9 April 2014

CRIME ALERT: WASPADA ‘LONE RANGER’

Gambar hiasan

Pengiklanan penjualan kenderaan melalui laman sesawang boleh mengundang padah jika anda tidak mengambil langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya. 

Terkini, penjenayah memperdaya mangsa (penjual kenderaan) dengan tipu helah untuk menguji kenderaan di malam hari yang kemudiannya akan dilarikan. Sasarannya adalah kenderaan terpakai.

Kelicikan penjenayah memperdaya mangsa yang mengiklankan kenderaan dalam laman sesawang menyebabkannya digelar 'Lone Ranger' kerana bergerak secara bersendirian.

Ikuti MO dan nasihat dari pihak polis bagi mengelakkan anda daripada menjadi mangsa seterusnya.

Modus Operandi: 

- Mangsa yang mengiklankan kereta miliknya dalam laman sesawang akan dihubungi suspek beberapa kali selepas memuat naik gambar kenderaannya dalam laman berkenaan. 

- Suspek akan mengumpan mangsa untuk bertemunya pada waktu malam sebelum melarikan kenderaan milik individu terbabit. 

- Suspek akan bertegas untuk bertemu waktu malam sahaja dan meminta izin mangsa kononnya untuk memandu uji kereta berkenaan. 

- Suspek akan memandu kereta tersebut di sekitar kawasan berkenaan sebelum berpura-pura berpuas hati dengan kenderaan yang hendak dibeli.

- Suspek terbabit akan mengeluarkan sekeping cek dan menyerahkannya kepada mangsa sambil mengarahkan mangsa untuk turun daripada kereta bagi menyemak cek berkenaan di kawasan terang. 

- Suspek akan mengambil kesempatan melarikan kenderaan berkenaan dengan meninggalkan sebuah kereta miliknya yang dipercayai kenderaan curi.

Nasihat:

- Semasa berjumpa dengan suspek untuk tujuan jual beli kenderaan, disarankan untuk membawa rakan bersama-sama. 

- Tidak panik dan kenal pasti wajah suspek seperti (bangsa, pakaian dan jantina). 

- Lakukan urusan jual beli kenderaan bersama ejen berdaftar dan bukan secara perseorangan. 

- Pastikan masa urusan ditukar pada waktu siang dan di tempat yang tidak sunyi. 

- Pastikan kawasan yang diberhentikan kenderaan adalah kawasan yang sama dengan kawasan yang dimulakan. (Disarankan supaya kawasan yang ramai orang atau banyak kenderaan kerana ia akan melambatkan pergerakan suspek untuk melarikan kenderaan) 

- Memadai memuat naik beberapa bahagian tertentu sahaja seperti gambar bahagian depan, sisi dan belakang kereta semasa membuat pengiklanan jualan kenderaan di laman sesawang.

Selasa, 8 April 2014

POLIS BERJAYA SELAMATKAN KANAK-KANAK DARIPADA DICULIK


TINDAKAN PANTAS POLIS SELAMATKAN KANAK-KANAK DICULIK

Kota Kinabalu, 7 April - Tindakan pantas polis berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun daripada diculik oleh individu tidak dikenali di kawasan meletak kereta Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hwa Likas, awal hari ini. 

Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu Supt M. Chandra berkata dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu kanak-kanak yang sedang tidur di dalam kereta milik ibunya dilarikan sejauh kira-kira enam kilometer oleh penjenayah sebelum ditemui ditinggalkan di kawasan Asia City sejam kemudian.

"Kami sedang mengenal pasti sama ada terdapat mana-mana kamera litar tertutup di kawasan Asia City yang berjaya mengesan kenderaan itu dan percaya kes itu adalah cubaan menyamun kereta," katanya.

Chandra berkata pihaknya sedang menyiasat penglibatan lebih daripada seorang suspek melarikan kereta itu dan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan polis.

"Kanak-kanak itu bernasib baik kerana sepanjang kenderaan ibunya dilarikan dia sedang tidur dan jika sebaliknya pasti kejadian ini akan membawa kesan trauma ke atas dirinya," katanya.

Difahamkan ibu mangsa yang berusia 40-an dikenali sebagai Chung meletakkan kereta jenis Toyota Vios dengan enjinnya dibiarkan hidup ketika singgah membeli makanan sebelum beberapa minit kemudian kanak-kanak itu hilang bersama kenderaan itu. - BERNAMA

PENAGIH MEMILIKI PISTOL TIRUAN

Gambar hiasan

Kota Bharu, 7 April - Polis menahan seorang lelaki kerana memiliki pistol tiruan di rumahnya di Kampung Salor di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Azham Othman berkata suspek yang berumur 38 tahun itu ditahan pada pukul 9.30 malam. 

"Selepas disoal siasat, suspek telah membawa polis ke tempat dia menyimpan pistol berkenaan. Suspek kemudian menunjukkan sepucuk pistol tiruan berwarna hitam bertulis G-26 C MILSPEC 9X9 yang di letakkan di atas almari dalam sebuah bilik di rumah berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata siasatan awal juga mendapati suspek didapati positif methamphetamine dan kini direman selama empat hari bermula hari ini.

Azham berkata kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Isnin, 7 April 2014

Mayat Lelaki Ditemui Dengan Kesan Kelar Di Leher



BUKIT MERTAJAM: Mayat seorang lelaki ditemui dengan kesan kelar di leher dan beberapa tikaman serta luka di badan berhampiran kawasan perkuburan Islam di Jalan Permatang Nibong, di sini malam Ahad.

Mayat lelaki yang lengkap berpakaian itu ditemui dalam keadaan terbaring oleh orang awam yang melalui kawasan itu kira-kira pukul 8 malam.

"Lelaki itu memakai seluar jeans dan kemeja hitam. Selain kesan tikaman, perut lelaki itu juga hampir terburai akibat ditikam," kata jurucakap polis.

Beliau berkata tiada dokumen pengenalan diri ditemui dan polis percaya lelaki itu adalah rakyat asing kerana tiada tanda suntikan BCG pada lengannya.

Polis percaya lelaki itu dibunuh di tempat lain dan mayatnya dibuang di kawasan itu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata lelaki itu mempunyai tatu di bahagian dada.

Mayatnya dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu atau kehilangan anggota keluarga atau rakan supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan, katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...