Ahad, 27 April 2014

Dua Sahabat Didakwa Merogol Gadis


KOTA BHARU - Dua sahabat dihadapkan ke mahkamah Sesyen di sini kelmarin atas tuduhan merogol seorang wanita, April lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh Muhammad Hanif  Mazlan, 22, dan Zalani Yusoh, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Mohd Yusoff Yunus.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 22 tahun pada 10 April lalu, jam 11.30 pagi di flat Taman Bahagia, di sini.

Pendakwaan kes di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan. Tertakluk kepada subsekyen (2),(3) dan (4), yang boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Tertuduh pertama, Muhammad Hanif bagaimanapun, berhadapan satu lagi dakwaan merogol mangsa yang sama iaitu pada tarikh yang sama pada jam 4 petang hingga 4.30 petang di sebuah rumah di Desa Harmoni, Wakaf Che Yeh.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nurhilwani Mat Rifin dan wang jaminan tidak ditawarkan. Mahkamah menetapkan 27 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Ops Cantas Khas PGA Banteras Jenayah Dan Perlu Diteruskan


KOTA BHARU - Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya mematahkan 140 pelbagai kes jenayah dengan nilai rampasan bernilai RM7,007,767  sejak Ops Cantas Khas PGA diperkenalkan Oktober tahun lalu.

Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Superintendan Dahlan Mood Noor berkata, seramai 45 anggotanya ditempatkan bersama polis di daerah terpilih bagi membantu terutamanya di kawasan sempadan yang amat sensitif dengan maklumat penyeludupan barang-barang terlarang.

Menurutnya, operasi tersebut yang baru sahaja menamatkan fasa keempat ternyata memberi impak yang positif dalam kes jenayah rentas sempadan memandangkan angka tangkapan sentiasa meningkat.

“Antara kes yang paling tinggi berjaya dipatahkan adalah melibatkan dadah. Bagi mengekang kebanjiran pil kuda di daerah-daerah berpotensi, kami akan pergiatkan lagi operasi pada masa akan datang.

Sabtu, 26 April 2014

Rogol Bawah Umur: Pekerja Kedai Jam Dihukum Penjara 41 Tahun, 12 Sebatan


KUALA LUMPUR: Pekerja kedai jam dikenakan hukuman penjara 41 tahun dan 12 kali sebatan atas dua kesalahan merogol remaja bawah umur.

Chai Ruong Huei, 32 juga didapati bersalah kerana mencuri iPad remaja berusia 16 tahun itu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Emelia Kaswati Mohamad Khalid menolak permohonan Ruong Huei untuk menggantung pelaksanaan hukuman.

Beliau mengarahkan hukuman itu dikenakan selepas tamat tempoh kesalahan pertama yang dilakukannya seperti ditetapkan pada 26 Mac lalu. Kes ini masih diperingkat rayuan.

Ruong Huei dikenakan hukuman 18 tahun penjara dan enam sebatan untuk setiap kesalahan merogol gadis itu di sebuah bilik di Hotel New Three Three, Jalan Manis 7, Taman Segar, Cheras antara pukul 2.10 petang hingga 2.30 petang pada 15 September 2012.

Tertuduh juga dihukum penjara lima tahun kerana mencuri iPad gadis itu pada masa dan tempat sama.

Hakim Emelia Kaswati memerintahkan supaya hukuman itu dilaksanakan serentak, bermaksud Ruong Huei akan dipenjarakan selama 18 tahun dengan 12 sebatan.

Terdahulu, peguam bela Mohd Yusuf Ag Lah berkata, Ruong Huei adalah anak sulung daripada tiga beradik yang memikul tanggungjawab membantu keluarganya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Malek Fauzie bagaimanapun meminta mahkamah mempertimbangkan kesan perbuatan tertuduh bukan sahaja kepada mangsa, juga masyarakat.

Jumaat, 25 April 2014

PENGARAH JABATAN LOGISTIK PANDU UJI RIGID HULL FENDER BOAT


Pada 24 April 2014 jam 9.00 pagi, Dato' Pahlawan Zulkifli b. Abdullah, Pengarah Jabatan Logistik Bukit Aman membuat lawatan kerja ke Limbungan Dalac Marine,Masai Johor untuk mendengar taklimat berkaitan Rigid Hull Fender Boat (RHFB) sekali gus membuat pandu uji bot tersebut.

Ini merupakan salah satu usaha berinovasi dalam konteks 'technology update' peralatan dan kelengkapan Pasukan khususnya dalam menjaga keamanan negara.

Turut hadir ialah Ketua Polis Johor, Dato Zubaidah bte Mohd Ismail, Timb. Pengarah 1(Pengangkutan/Komunikasi/Teknologi Maklumat/Bangunan) Jabatan Logistik dan Komander Pasukan Marin Polis serta pegawai-pegawai yang bertanggungjawab.

POLIS CADANG TEMPAT ANGGOTA DI PUSAT PERANGINAN SABAH



Kuala Lumpur, 25 April - Pihak polis bercadang menempatkan anggota di 11 pusat peranginan di Sabah bagi menghalang kemasukan penjenayah mahupun pihak luar yang cuba menyusup masuk melalui pantai timur negeri itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kehadiran anggota keselamatan di pusat-pusat peranginan itu adalah penting berikutan kedudukannya yang terletak berjauhan dan terpencil.

"Memandangkan kedudukannya yang luas dan jauh, susah untuk kami berikan respons dengan pantas. Dengan adanya pasukan keselamatan secara tetap di setiap pusat peranginan, sebarang jenayah dapat dielakkan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Panther 911 Central Monitoring System' di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan meminta syarikat yang mengeluarkan sistem pemantauan keselamatan itu Digistar Holdings Sdn Bhd agar menyerahkan cadangan kepada pihak polis untuk diteliti dan diaplikasi di kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

Khalid berkata sistem itu boleh mengesan ketibaan penjenayah di perairan
Esscom.

Ia berfungsi seperti kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh diletak di pusat peranginan, yang sentiasa memantau perairan dan juga akan dihubungkan terus ke balai-balai polis berhampiran.- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...