Ahad, 27 April 2014

Ops Cantas Khas PGA Banteras Jenayah Dan Perlu Diteruskan


KOTA BHARU - Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya mematahkan 140 pelbagai kes jenayah dengan nilai rampasan bernilai RM7,007,767  sejak Ops Cantas Khas PGA diperkenalkan Oktober tahun lalu.

Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Superintendan Dahlan Mood Noor berkata, seramai 45 anggotanya ditempatkan bersama polis di daerah terpilih bagi membantu terutamanya di kawasan sempadan yang amat sensitif dengan maklumat penyeludupan barang-barang terlarang.

Menurutnya, operasi tersebut yang baru sahaja menamatkan fasa keempat ternyata memberi impak yang positif dalam kes jenayah rentas sempadan memandangkan angka tangkapan sentiasa meningkat.

“Antara kes yang paling tinggi berjaya dipatahkan adalah melibatkan dadah. Bagi mengekang kebanjiran pil kuda di daerah-daerah berpotensi, kami akan pergiatkan lagi operasi pada masa akan datang.

“Dalam masa yang sama bagi membendung jenayah berat seperti penyeludupan senjata api, dadah dan pemerdagangan manusia dari berleluasa, usaha pemantauan akan dipergiatkan di lokasi panas sekitar Pasir Mas, Rantau Panjang, Tanah Merah dan Tumpat,” katanya kepada pemberita dalam sidang media khas di Mess Pegawai Kanan BN 8 PGA, Pengkalan Chepa, semalam.

Turut hadir dalam sidang media khas tersebut, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam Ketua Trafik Negeri, Superintendan Azli Md Noor dan Pegawai Turus Risik (Pegawai Penyelarasan Ops Cantas Khas) Briged Tenggara, PGA, Asisten Superintenda, Zulkepli Ibrahim.

Dalam pada itu, Dahlan turut memberikan taklimat balas prestasi Ops Cantas Khas yang dijayakan sebelum ini kepada anggota PGA 8 terlibat.

Dahlan berkata, pihaknya akan menyekat dan membanteras aktiviti jenayah dengan membuat risikan dan pemantauan teliti terlebih dahulu bagi memastikan sasaran dapat dipatahkan.

“Sebelum ini, Ops Cantas Khas fasa pertama berjaya mematahkan 43 kes jenayah dengan nilai anggaran rampasan RM63,043, fasa kedua 29 kes dengan nilai rampasan RM86,281.

“Manakala fasa ketiga sejumlah 31 kes berjaya dipatahkan dengan nilai RM492,991, fasa keempat 37 kes dengan nilai RM6,365,452 di mana ia menjadikan nilai keseluruhan kes 140 dengan nilai rampasan lebih RM7 juta,” katanya.

Tambahnya, pencapaian dalam setiap operasi pastinya menjadi pembakar semangat bagi setiap anggota untuk bertugas dengan lebih efisien.


Sumber:sinarharian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...