Ahad, 27 April 2014

Salah laku pelajar membimbangkan


KUALA KUBU BHARU - Masalah salah laku pelajar perlu dibendung dari awal bagi mengelak menjadi barah yang mengundang kepada kegiatan jenayah dalam kalangan pelajar.

Sehubungan itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, penubuhan Kor Kadet Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara langkah yang dapat menangani masalah tersebut selain dapat menjadikan pelajar sebagai role model di sekolah serta menjadi mata dan telinga guru mengekang masalah itu.

“Statistik jenayah pelajar di Selangor sepanjang tempoh Januari hingga Disember 2013 mencatatkan angka sebanyak 873 orang berumur dalam lingkungan tujuh hingga 18 tahun.

“Manakala sehingga Mac 2014 statistik menunjukkan jumlah jenayah melibatkan pelajar mencatatkan jumlah keseluruhan sebanyak 135 orang yang berumur dalam lingkungan usia sama.

“Di sinilah peranan pegawai dan pelajar kor kadet polis diperlukan dalam membantu pihak sekolah dan polis membendung gejala salah laku dan kegiatan jenayah di dalam sekolah dari peringkat awal lagi,” katanya ketika menyempurnakan majlis penutup Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Negeri Selangor, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar; Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Selangor, Zainal Abidin Mohd Yusof dan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Shukri Yaacob.

Mohd Shukri berkata, perkembangan menggalakkan penglibatan guru dan pelajar dalam kor kadet polis sesuatu yang positif di mana sehingga kini pegawai kadet terdiri daripada guru sekolah mencatatkan jumlah keahlian 528 orang, manakala pelajar 20,591 orang.

“Angka ini jika digunakan dalam program pencegahan dan mengekang salah laku pelajar sedikit sebanyak membantu mengurangkan kadar jenayah melibatkan pelajar.

“Saya harap semua ahli dapat bergerak aktif dalam Kelab Pencegahan Jenayah supaya dapat menangani masalah jenayah di sekolah,” katanya.

Perkhemahan itu berlangsung selama empat hari dan melibatkan 750 pelajar sekolah dari 15 daerah dan Ibu Pejabat Polis Daerah.


Sumber:sinarharian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...