Ahad, 27 April 2014

IBU TUNGGAL Mencari Jalan Mudah Menjual Dadah


KOTA BHARU- Seorang ibu tunggal didakwa di mahkamah majistret di sini semalam atas dua pertuduhan memiliki dadah berbahaya pada 19 April lalu.

Tertuduh, Noor Azlina Ilias,34, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di depan Majistret Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didapati memiliki satu botol plastik cerah berisi serbuk putih 2.5 gram yang disyaki dadah merbahaya jenis heroin. Manakala pertuduhan kedua, tertuduh didapati memiliki satu tiub straw berisi lima biji pil kemerahan 0.5 gram disyaki dadah berbahaya jenis ‘methamphetamine.

Kesemua kesalahan tersebut dilakukan pada 19 April lalu di sebuah rumah di Jalan Pintu Geng.

Pendakwaan kes dibuat mengikut seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39A(1) dan seksyen 12(3) akta yang sama.

Bagi kesalahan pertama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun dan sebat tidak lebih dari sembilan sebatan.

Bagi kesalahan kedua pula denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan jaminan RM12,000 kepada tertuduh.

Terdahulu, tertuduh memohon wang jaminan dikurangkan atas alasan dia masih menanggung tiga anaknya yang masih kecil.

Nik Habri kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 11 Jun depan.


Sumber:sinarharian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...