Rabu, 26 Jun 2013

Polis buru dua lelaki terlibat samun empat buah kedai


Nibong Tebal, 25 Jun - Polis sedang mencari dua lelaki bagi membantu siasatan kes samun premis perniagaan yang semakin menjadi-jadi di sekitar Bukit Mertajam dan Nibong Tebal di sini sejak sebulan lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat berkata dua lelaki terbabit ialah Ng Boon Teong, 32, beralamat terakhir di No 3, Taman Impian di Bukit Mertajam dan Chong Wooi Huat, 30, dari Taman Seri Impian, Batu Dua di Jalan Kuala Ketil, Kedah.

"Selasa lepas polis berjaya memberkas tiga orang dipercayai anggota kumpulan samun ini dan susulan itu polis berjaya mengenal pasti ketua kumpulan tersebut," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya susulan penahanan itu, polis berjaya merampas semula pelbagai jenis telefon bimbit, aksesori telefon bimbit dan wang tunai dengan nilai keseluruhan RM15,000.

Lelaki Indonesia maut ditetak dalam pergaduhan

Gambar hiasan

ALOR GAJAH 25 Jun - Seorang lelaki warga Indonesia maut dalam keadaan tangan kirinya putus selepas ditetak dalam pergaduhan di sebuah rumah kongsi di Loji Air Gangsa, Durian Tunggal di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 10.45 malam itu, mangsa berasal dari Madura dan dikenali sebagai Saiful Rahman, 29, dipercayai diserang lebih daripada seorang suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, hasil pemeriksaan di tempat kejadian menjumpai sejumlah senjata termasuk sabit, parang dan kayu yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu.

"Setakat ini, polis telah mengesan tiga suspek lelaki berusia antara 25 hingga 35 tahun dan kini memburu mereka," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya tampil membantu. - UTUSAN ONLINE



Selasa, 25 Jun 2013

Majikan Warga Emas Dibunuh, Disamun Dipercayai Oleh Amah Indonesia

Gambar hiasan
ALOR SETAR: Seorang warga emas meninggal dunia selepas ditikam dengan gunting dan disamun dipercayai oleh pembantu rumahnya sendiri di Taman Serindit, Jalan Langgar di sini, Isnin.
Mangsa, Che Siah Wan Nik, 75, ditemui dalam keadaan berlumuran darah di dalam bilik di rumahnya dengan kesan tikaman di rusuk kiri.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata polis menerima panggilan pada 11.25 pagi daripada jiran mangsa yang mengatakan berlaku kes samun di rumah Che Siah.
Ketika polis tiba di tempat kejadian, pembantu rumah berasal dari Batam, Indonesia berusia 38 tahun mendakwa majikannya itu dirompak empat lelaki warga Indonesia, katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Mayat Manusia Dicincang Dan Dibakar Ditemui Dekat Genting Skyway

Gambar hiasan
KUANTAN: Mayat manusia yang dicincang dan dibakar ditemui di Jalan Pintas dekat Genting Skyway, Genting Highlands petang Isnin.
Ketua Polis Daerah Bentong Superintenden Mohamad Mansor Mohd Nor berkata polis bergegas ke tempat kejadian selepas penemuan itu dimaklumkan orang awam pada kira-kira 4 petang.
"Mayat mangsa yang tidak dikenal pasti itu ditemui di situ, yang merupakan jalan pintas ke Gohtong Jaya kira-kira 1 kilometer selepas bulatan 'U' ke arah Kuala Lumpur.
"Mayat itu dipercayai dikerat kepala sehingga putus dan badannya dicincang sebelum dibakar," katanya ketika dihubungi di sini Isnin.
Beliau berkata berdasarkan keadaan mayat yang teruk terbakar, polis tidak dapat mengecam jantina mangsa.
Mayat itu dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya. - BERNAMA

Ahad, 23 Jun 2013

PERHIMPUNAN BERJAYA DIKAWAL, TINDAKAN TEGAS TERHADAP PENGANJUR



Bangi, 22 Jun - Meskipun pasukan keselamatan berjaya mengawal perhimpunan di Padang Merbok, tindakan tegas tetap akan diambil terhadap pihak penganjur, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin.

"Kita akan mengambil tindakan terhadap penganjur tersebut seperti mana sedia maklum di bawah Akta Perhimpunan Aman.Kita akan mengambil tindakan-tindakan susulan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan penutupan Kejohanan Bola Sepak Terbuka dan Veteran 9 Sebelah Piala Ketua Polis Negara 2013 di sini hari ini.

"Kita melihat dari sudut keselamatan, kita dapat uruskan secara berkesan dan masyarakat boleh menilai tentang perhimpunan yang berlaku di Padang Merbok," katanya. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...