Jumaat, 25 Februari 2011

Tukang masak miliki dadah cuba beri rasuah

25/02/2011 8:45pm
NIBONG TEBAL — Polis menahan seorang tukang masak yang cuba memberikan sogokan sebanyak RM5,000 kepada polis bagi mengelak ditangkap kerana memiliki dadah di sebuah restoran di Jalan Bukit Tambun di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan (SPS), Supt. Shafien Mamat berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditahan bersama 30 biji pil Eramin 5 kira-kira pukul 2.50 petang.
"Hasil risikan dan maklumat awam, kita menyerbu restoran berkenaan dan menemui dadah berkenaan bersama lelaki terbabit,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, semasa soal siasat dijalankan, lelaki terbabit berulang kali merayu kepada pegawai penyiasat agar kes itu diselesaikan dengan bayaran kerana dia perlu menghadiri majlis perkahwinan adiknya, bagaimanapun pegawai penyiasat menolak dan menasihatinya.
"Dalam masa sama, seorang wanita berusia 43 tahun yang mengaku majikan lelaki terbabit datang menemuinya dan dipercayai memberikan wang sebelum tukang masak berkenaan memberikan wang itu kepada pegawai penyiasat bagi melepaskannya,” katanya.
Shafien berkata, sebaik tukang masak itu menghulurkan wang sebanyak RM5,000, pegawai penyiasat berkenaan terus merampas wang dan menahannya kerana memberi rasuah sebagai dorongan untuk menyelesaikan kes dadah itu. — Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...