Selasa, 8 Mac 2011

Belasah seorang pelajar Tingkatan Tiga gara-gara kehilangan wang RM500

TAMPIN – Seramai 10 pelajar di sebuah institut tahfiz di sini ditahan polis selepas berlagak samseng membelasah seorang pelajar, Khamis lalu. 

Kesemua pelajar berusia antara 16 dan 20 tahun itu ditahan kelmarin selepas dikatakan membelasah seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga di institut sama. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Mohd Isa Ujang berkata, dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, mangsa dibelasah oleh tidak kurang 11 pelajar kerana kes kehilangan wang. 

“Mangsa yang ketika itu berada di asrama dipanggil untuk berjumpa di blok asrama lain dan sebaik sahaja tiba di lokasi dimaksudkan, dia disoal siasat sama ada mengambil duit RM500 milik seorang pelajar lain,” katanya. 


Beliau berkata, mangsa kemudiannya menafikan ada mengambil wang tersebut sebelum kesemua pelajar itu bertindak memukul mangsa dengan kayu dan tali pinggang di bahagian atas mata kiri, dada, tangan, kaki dan beberapa bahagian badan. 

“Kedua-dua tangan dan kaki mangsa turut diikat semasa dibelasah kumpulan� pelajar berkenaan. Mangsa juga dipaksa mengaku terbabit dalam kes kecurian berkenaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, semalam. 

Mohd Isa berkata, mangsa bagaimanapun melarikan diri dari asrama selepas sekali lagi dipanggil kumpulan sama, kira-kira 9.30 malam, keesokan harinya. 

“Mangsa akhirnya membuat laporan polis pada Sabtu lalu, kira-kira 5.45 petang dan dihantar ke Hospital Tampin (HT) bagi mengesahkan sama ada terdapat kesan dipukulan,” katanya. 

Mohd Isa berkata, kesemua pelajar yang terlibat akan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata atau objek keras. Jika sabit kesalahan akan berhadapan dengan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 

Bagaimanapun, katanya, kesemua mereka dibebaskan dengan ikat jamin polis bagi membolehkan mereka mengambil peperiksaan di institusi berkenaan, semalam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...